Selepas hampir setahun pintu premis tertutup rapat akibat perintah kawalan pergerakan untuk mengawal pandemik, kini pengusaha agensi pelancongan “hidup semula” selepas kelonggaran diberikan kerajaan untuk pelancongan domestik antara negeri.
Siti Noraishah Ahmad dari Seroja Anggerik Travel & Tours kini sedang dalam proses meneliti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat disesuaikan dengan pakej yang ditawarkan.
“Ini merupakan usaha agensi pelancongan dengan kementerian pelancongan, seni dan budaya yang optimis dalam memperjuangkan agar dapat teruskan operasi.
“Terdapat beberapa SOP yang perlu dipatuhi seperti membuat laporan polis, menjadikan kami memandang serius terhadap tahap kesihatan pelanggan, selain mengharapkan agar mereka juga jujur dalam berkongsi maklumat,” katanya kepada MalaysiaNow.
Aishah berkata, syarikatnya kini lebih fokus menawarkan pakej berkumpulan dengan kapasiti maksimum seramai 10 orang sehingga 20 orang.
“Pada peringkat awal kami (agensi) menyediakan pakej dalam kumpulan kecil yang lebih privasi kerana sedar kebenaran ini masih baru.
“Kebenaran perjalanan juga hanya untuk negeri di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP lain,” katanya.
Pada 9 Mac, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran merentas negeri melalui gelembung pelancongan bersasar dengan tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.
Sehingga tarikh 10 Mac 2021, Perlis, Langkawi, Terengganu, Pahang, Melaka, dan Sabah diisytiharkan sebagai negeri PKPP.
Sementara itu Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) N Subramaniam berkata walaupun pergerakan masih terbatas tetapi situasi ini merupakan petanda baik kepada industri pelancongan negara.
“Industri memahami keprihatinan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 dengan membenarkan pergerakan rentas negeri PKPP menggunakan khidmat agensi pelancongan tanpa penggunaan kenderaan peribadi.
“Susulan itu kami (persatuan) mencadangkan agar kerajaan memberikan kebenaran untuk menaiki pesawat dengan pengesahan tempahan hotel di negeri PKPP.
“Pengurusan hotel juga mengamalkan sikap ‘bersih dan selamat’ termasuk persatuan yang sentiasa memberi fokus terhadap penjagaan kebersihan demi menjamin keselamatan pengunjung,” katanya kepada MalaysiaNow.
Kementerian pelancongan, seni dan budaya mengharapkan agar pelancong dapat menjadi individu yang bertanggungjawab dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Sama-samalah kita bekerjasama dan terus berdoa agar industri pelancongan dan kebudayaan tempatan tidak perlu lagi melalui saat sukar melalui penutupan aktiviti kerana impak negatifnya terhadap rantaian ekonomi,” kata menterinya, Nancy Shukri menerusi satu kenyataan.
Selain itu Nancy turut berterima kasih kepada kerajaan dengan membenarkan aktiviti langsung industri kreatif di negeri PKPP dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) diadakan dengan kehadiran penonton.
“Ini termasuk program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, tari, teater, muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan boleh diadakan secara langsung dengan melibatkan kehadiran 50% penonton dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.