- Iklan -
Berita

PKP mungkin tidak lagi dilaksanakan secara menyeluruh, kata PM

Strategi kawalan penularan Covid-19 negara akan dilaksanakan secara lebih bersasar bersandarkan sains dan data.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial hari ini. Gambar: Bernama

Muhyiddin Yassin berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) berkemungkinan tidak perlu lagi dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ketika ini.

Perdana menteri berkata, strategi kawalan penularan Covid-19 negara akan dilaksanakan secara lebih bersasar bersandarkan sains dan data bagi mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

“Kawalan pergerakan hanya akan dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,” katanya dalam pengumuman khas mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion melalui siaran televisyen, hari ini.

Perkara ini merupakan antara 20 inisiatif strategik di bawah Pemerkasa dan terletak di bawah fokus pertama program berkenaan iaitu bagi mengawal penularan Covid-19.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan secara rasmi 24 Februari lepas dengan sasaran memberikan imunisasi percuma kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Mengenai program berkenaan, Muhyiddin berkata di bawah Pemerkasa kerajaan juga bersetuju menaikkan peruntukannya daripada RM3 bilion sebelum ini kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok Disember ini, berbanding sasaran awal, suku pertama tahun hadapan.

“Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15,000 petugas akan ditempatkan di hampir 950 pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara.

“Mengambil kira pertambahan tugas itu, kerajaan setuju bantuan khas Covid-19 dengan kadar RM200 sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan,” katanya dan menambah bahawa sehingga kini lebih 300,000 rakyat menerima suntikan pertama vaksin.

Sementara itu, selaras Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, perdana menteri berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Ini termasuk dalam melindungi golongan pekerja yang menurutnya di bawah inisiatif “Safe@Work”, sebuah program baru yang akan mula dibuka pendaftaran 1 April ini, kerajaan bersetuju memberi potongan cukai tambahan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja syarikat pengilangan dan perkhidmatan yang menyertainya.

Katanya, program bersifat sukarela di bawah kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) itu mempertanggungjawabkan majikan menyediakan tempat kerja dan penginapan kondusif para pekerja.

“Perbelanjaan yang layak untuk mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat berdaftar dengan Miti dan lulus audit pematuhan Safe@Work.

“Syarikat yang berdaftar dengan Miti untuk program ini akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam ‘Safe work bubble’ sehingga kesemua pekerja disahkan selamat.”

Selain itu, perdana menteri berkata majikan yang membuat ujian pengesanan Covisd-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan Covid-19 bagi perbelanjaan dibuat sehingga 31 Disember ini.

Muhyiddin juga berkata di bawah Pemerkasa kerajaan setuju melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar yang dijangka membantu 400,000 pekerja dan 37,000 majikan dengan peruntukan sebanyak RM700 juta.

Beliau berkata kerajaan sedar masih terdapat sektor yang terkesan dan pelanjutan ini akan merangkumi sektor pelancongan, perdagangan, borong dan runcit serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa.

“Sehingga 5 Mac lepas, kerajaan salurkan lebih daripada RM14.4 bilion bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta pekerja dan lebih 330,000 majikan,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata kerajaan akan terus tambah baik program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah pertubuhan keselamatan sosial (Perkeso) dengan memperluas skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig.

Ini, katanya termasuk menyediakan peruntukan RM300 juta yang akan memanfaatkan 60,000 pekerja di mana setiap pekerja akan menerima RM600 sebulan selama tempoh maksimum enam bulan.

Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek atau platform penyedia perkhidmatan gig berdaftar dengan Perkeso, mereka akan menerima RM200 bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

Beliau berkata bagi program perantisan di bawah PenjanaKerjaya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan tempoh program berkenaan selama enam bulan, berbanding tiga bulan sebelum ini, di mana setiap pelatih akan diberi insentif sebanyak RM800 setiap bulan.

Bagi menangani masalah pengangguran, Muhyiddin berkata di bawah majlis pekerjaan negara yang ditubuhkan, sehingga Februari lepas, sebanyak 66,000 peluang pekerjaan daripada sasaran sebanyak 500,000 sepanjang tahun ini, telah berjaya diwujudkan.