- Iklan -
Berita

‘Jangan bina mahligai pasir’, lebih ramai ahli Parlimen pembangkang selar Anwar

Pemimpin pembangkang dari Pakatan Harapan tidak mahu membazirkan mengira nombor sokongan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berkata sesuatu pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pucuk kepimpinan PKR dan menjawab tentang isu kerjasama dengan Umno.
Anwar Ibrahim berkata sesuatu pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pucuk kepimpinan PKR dan menjawab tentang isu kerjasama dengan Umno.

Lebih ramai ahli-ahli Parlimen menyokong penentangan terhadap rancangan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan Umno untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mereka turut menyelar cakap-cakap berterusan tentang cubaan merampas kerusi perdana menteri termasuk mempunyai “bilangan” mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan, dakwaan yang berulang-ulang kali dikeluarkan Anwar sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang tahun lalu.

“Selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton yang menyakitkan, kami mahu terus bergerak ke hadapan. Kita tidak pernah kekurangan bakat dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang,” kata kenyataan bersama yang ditandatangani Ramkarpal Singh dan Hannah Yeoh dari DAP, Darell Leiking dari Warisan, Maria Chin Abdullah dari PKR dan Syed Saadiq Abdul Rahman dari Muda.

“Kami mahu pimpinan pembangkang untuk terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.”

Kenyataan ini dikeluarkan beberapa hari selepas Anwar mengakui partinya bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno untuk bekerjasama menentang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kelima-lima ahli Parlimen ini bagaimanapun memberikan peringatan berhubung kerjasama dengan parti Melayu itu, mengatakan pengalaman kerajaan PN seharusnya dijadikan pengajaran.

“Kita harus belajar daripada pembentukan mahligai pasir Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina dari asas yang rapuh dan hanya mampu bertahan dengan ugutan berterusan serta resolusi parti Umno yang berubah-ubah. Jangan sampai kita menjadi seperti mereka,” kata kenyataan itu.

“Kita tidak perlu mempertaruhkan kesemuanya untuk ke Putrajaya.”

Sekumpulan pemimpin Umno yang diketuainya oleh presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak kini menjadi pengkritik utama kerajaan PN walaupun menyokong pembentukannya tahun lepas.

Zahid dan Anwar pada Oktober menyokong rancangan Anwar untuk menjatuhkan Muhyiddin melalui pembelotan ahli-ahli Parlimen.

Semalam, empat ahli Parlimen pembangkang dan seorang pemimpin DAP menggesa agar Anwar untuk menolak kerjasama dengan pemimpin kleptokrat Umno dan mengukuhkan kesepakatan pembangkang.

Gesaan tersebut disuarakan tiga ahli Parlimen iaitu Salahuddin Ayub (Amanah-Pulai), Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), dan Syed Saddiq.

Senator Liew Chin Tong dan pemimpin Parti Sarawak Bersatu Baru Bian turut serta menandatangani kenyataan tersebut.