- Iklan -
Berita

Jangan mudah termakan umpan iklan makanan kesihatan

Pakar berkongsi bagaimana pengguna boleh mengelak daripada ditipu iklan, dan promosi makanan tambahan kesihatan.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Vitamin dan zat mineral boleh diperolehi daripada makanan dan diet yang seimbang tidak semestinya di dalam kapsul atau pil. Gambar: AP
Vitamin dan zat mineral boleh diperolehi daripada makanan dan diet yang seimbang tidak semestinya di dalam kapsul atau pil. Gambar: AP

Ahli farmasi menasihatkan pengguna supaya berhati-hati dengan taktik pengiklanan dan testimoni palsu berkaitan makanan tambahan selepas mendapati pengambilannya meningkat dalam kalangan warga Malaysia.

Seorang ahli farmasi kanan dari Sungai Buloh, Munaver Ahmad Nazir Ahmad berkata iklan promosi dan diskaun adalah faktor utama pengguna membeli makanan tambahan.

“Ini semua menggunakan pemasaran hingga menyebabkan pengguna beli,” kata Munaver.

Beliau berkata demikian selepas meniliti tinjauan dilaksanakan firma Jepun, Rakuten Insight yang mendapati mereka yang berumur 16 hingga 44 tahun meningkatkan pengambilan makanan tambahan pada Julai tahun lalu ketika negara berdepan Covid-19.

Peluang untuk mengekalkan kesihatan dan meningkatkan imuniti bagi melindungi diri daripada virus sudah cukup menggoda ramai orang mengeluarkan duit lebih-lebih lagi iklan promosi dan diskaun pula menunjukkan harga yang murah.

Namun, Munaver berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan bakal pembeli sebelum mereka menghabiskan duit mereka.

Untuk permulaan, katanya, para pengguna perlu memeriksa nombor pendaftaran dan ketulenan sesebuah produk.

Pendaftaran sebarang makanan tambahan di Malaysia berada di bawah seliaan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Produk-produk yang diluluskan NPRA akan mendapat kod pendaftaran yang bermula dengan “MAL” dan diikuti 8 digit nombor sebelum diakhiri dengan huruf “N”.

“Banyak produk-produk yang hanya didaftarkan sebagai makanan tambahan namun tidak memiliki nombor kod pendaftaran produk,” kata Munaver kepada MalaysiaNow.

Beliau menambah para pengguna juga perlu memeriksa ketulenan sesuatu produk dengan memasukkan butiran produk itu didalam aplikasi Quest3+ di laman sesawang NPRA.

Selain itu, cara lain untuk mengetahui sama ada produk tersebut diluluskan atau tidak ialah dengan melihat pelekat hologram yang diberikan oleh kementeri kesihatan (KKM).

Malangnya, Munaver berkata wujud segelintir peruncit yang menipu dengan menggunakan logo-logo kementerian, halal, dan logo MeSTI tanpa kebenaran agensi-agensi tersebut.

Selain itu, Munaver berkata pengguna boleh memeriksa sama ada sesuatu produk itu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Lembaga Iklan Ubat (MAB) di bawah peruntukan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 yang melarang pengiklanan ubat bagi 20 jenis penyakit.

Bagaimanapun, katanya, paling bagus adalah pengguna merujuk atau mendapatkan nasihat doktor bagi mengelakkan pembelian hasil termakan pujukan iklan atau kerana meragui kesihatan mereka disebabkan kempen pemasaran.

Beliau berkata ahli farmasi dilatih untuk mengenal pasti tanda dan gejala-gejala kekurangan zat dan turut bersedia memberikan nasihat bagi menyelesaikan masalah kesihatan.

“Ahli farmasi komuniti boleh menggunakan penilaian teknikal dan kepakaran mereka agar keputusan membeli pengguna berpandukan maklumat tepat berkenaan makanan tambahan diperlukan mereka mengikut keadaan kesihatan pengguna sendiri.

Bahkan katanya, kebanyakan orang sebetulnya tidak memerlukan makanan tambahan harian seperti vitamin atau zat mineral kerana semua itu boleh diserap daripada diet pemakanan yang sihat.

“Kekurangan nutrisi hanya boleh dibetulkan dengan makanan tambahan, namun standard paling bagus adalah dengan diet yang seimbang,” katanya.

Munaver turut mengingatkan kesan sampingan akibat daripada makanan tambahan, kerana menurutnya, pengambilan dos berlebihan juga boleh menyebabkan keracunan.

Malah, katanya, makanan tambahan juga boleh menyebabkan beberapa tindak balas tubuh mengikut diet dan penyakit pengguna.