- Iklan -
Berita

Langkah kuasai FGV bakal kembalikan Felda ke landasan sebenar

Felda, agensi yang menempa nama kerana memperkasa penduduk desa dengan penerokaan tanah dan pertanian kini berdepan masalah kewangan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dengan penguasaan ke atas FGV, Felda dijangka dapat menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya. Gambar: AP
Dengan penguasaan ke atas FGV, Felda dijangka dapat menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya. Gambar: AP

Sejak tahun lalu Putrajaya memulakan langkah menyelamatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang sebelum ini dilanda pelbagai masalah dengan mengambil alih Felda Holdings Bhd (FGV) untuk memulihkan kembali kedudukan kewangannya.

Pengerusi Felda Idris Jusoh berkata, tidak lama lagi FGV akan dikuasai penuh oleh agensi itu.

“Felda berjaya menguasai 81% saham FGV bersama kerajaan negeri Pahang (5%) dan negeri Sabah (4%), pegangan saham sudah merentas 90%,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Felda berkata langkah ini membolehkan pengurusan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV berserta kilang sawit diintegrasikan dengan ladang agensi itu yang lain supaya lebih cekap dan berkesan untuk manfaat bersama Felda dan FGV.

“Pengambilalihan FGV oleh Felda adalah satu langkah penting dalam pelan pemulihan Felda yang diluluskan oleh kerajaan demi manfaat 112,638 peneroka dan dua juta warga besar Felda,” kata kenyataan itu.

FGV mula disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 2012 dan penyenaraian tawaran awam awal (IPO) syarikat itu ketika zaman pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak.

Pada 2019, menteri ekonomi pada ketika itu Mohamed Azmin Ali membentangkan “Kertas Putih Felda” yang mendedahkan sebelum penyenaraian FGV, agensi itu menjana keuntungan operasi melalui pengurusan ladang komersial milik mereka seluas lebih kurang 400,000 hektar.

Menurut kertas putih itu, dalam tempoh 2007 sehingga 2011, Felda mencatatkan keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun dan bagi tujuan penyenaraian FGV, agensi itu menyerahkan pengurusan ladang komersial melalui LLA untuk tempoh 99 tahun.

“Selepas penyenaraian FGV, khususnya mulai tahun 2013, prestasi kewangan Felda mulai merosot.

“Felda melaporkan kerugian secara berterusan sehingga mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM4.9 bilion pada tahun 2017,” kata Azmin ketika membentangkan Kertas Putih Felda di Dewan Rakyat pada 10 April, 2019.

Felda yang diasaskan perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein sebelum ini menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Felda menumpukan kepada pembukaan ladang-ladang pekebun kecil untuk tanaman kontan dan tidak hanya dikhaskan untuk membantu orang Melayu miskin tetapi juga kaum Cina dan India.

Beberapa buah Felda terawal seperti Felda LBJ dan Felda Lurah Bilut menerima peneroka pelbagai kaum seperti kaum Cina dan kaum India, begitu juga di Sabah dan Sarawak yang mana peneroka terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan yang membentuk sebilangan besar penduduk Malaysia.

*Fadila Awaludin turut menyumbang kepada laporan ini.