Pyongyang mengumumkan bahawa hubungan diplomatik di antara Korea Utara dan Malaysia diputuskan selepas seorang warganya diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) oleh kerajaan Malaysia.
Dalam sebuah kenyataan, kementerian luar Korea Utara berkata “Pada 17 Mac, pihak berkuasa Malaysia melakukan jenayah yang tidak dapat dimaafkan kerana menghantar warga (Korea Utara) yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat.”
Kementerian luar Korea Utara seterusnya berkata “dengan ini kami mengumumkan untuk memutuskan hubungan diplomatik secara menyeluruh dengan Malaysia,”
Kenyataan tersebut turut menyelar “tindak tanduk permusuhan” yang ditunjukkan terhadap Pyongyang “kerana tunduk terhadap tekanan AS.”
Korea Utara turut menggambarkan individu yang tidak disebut namanya itu sebagai seorang individu yang terlibat dalam kegiatan perdagangan yang sah di Singapura.
Ia turut menegaskan bahawa tuduhan ke atas individu tersebut adalah palsu.
Pada 3 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara bernama Mun Chol Myong gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi perbicaraan kes pengubahan wang haram.
Mun, yang tinggal di rantau Asia Tenggara selama satu dekad bersama keluarga, ditahan pada 2019 berikutan permohonan ekstradisi dari Washington.
Ketika perbicaraan mahkamah, Mun membantah dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa dia memimpin kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan AS dengan membekalkan barang terlarang ke Korea Utara bagi mengubah wang menggunakan beberapa syarikat.
Mun menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan bersubahat dalam pengubahan wang.
Menurut peguam Mun, pertuduhan tersebut berkait terus dengan kerjayanya di Singapura.
Bagaimanapun, masih tidak jelas mengenai jenis barangan yang dibekalkan oleh Mun.
Terdapat pelbagai kes perniagaan Singapura yang menghantar barangan mewah, seperti minuman keras dan jam tangan ke Korea Utara.
Eksport barangan mewah ke Korea Utara dilarang sebagai sebahagian daripada sekatan ke atas Pyongyang oleh PBB, AS dan negara-negara lain bagi membantah program senjata negara itu.