- Iklan -
Berita

Polis buka siasatan kekecohan konvensyen DAP di Perak

Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Konvensyen DAP Perak kecoh baru-baru ini apabila beberapa orang perwakilan tidak bersetuju proses pendaftaran pemilih yang sepatutnya tamat pada jam 10 pagi tetapi disambung sehingga 12 tengah hari.
Konvensyen DAP Perak kecoh baru-baru ini apabila beberapa orang perwakilan tidak bersetuju proses pendaftaran pemilih yang sepatutnya tamat pada jam 10 pagi tetapi disambung sehingga 12 tengah hari.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kekecohan membabitkan perwakilan Konvensyen DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad lepas.

Ketua Polis Perak Mior Faridalatharash Wahid berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 22A Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Polis telah memanggil penganjur bagi membantu siasatan serta menganalisis video dan foto yang diperoleh bagi mengenal pasti individu serta kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), khususnya ketika insiden itu, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kertas siasatan itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

“Polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana dikhuatiri akan mengganggu proses siasatan pihak polis,” katanya.

Pada konvensyen 14 Mac itu, berlaku sedikit kekecohan susulan dakwaan kewujudan pengundi hantu memilih ahli Jawatankuasa Negeri Perak selain tempoh pengundian yang secara tiba-tiba dilanjutkan.