Dengan hanya empat bulan lagi berbaki untuk pelaksanaan pemindaan Perlembagaan membenarkan remaja 18 tahun mengundi, persoalan turut muncul sama ada mereka sedia untuk menanggung tanggungjawab sivik ini, baik daripada pandangan penggubal undang-undang yang sebelum ini telah meluluskan rang undang-undang itu di Parlimen, dan bahkan dalam kalangan remaja.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 atau Undi 18 diluluskan oleh Dewan Negara pada bulan Julai 2019 setelah mendapat persetujuan sebulat suara di Dewan Rakyat.
Ia kemudian diwartakan dua bulan kemudian, kerajaan pula memiliki tempoh dua tahun untuk merangka dasar pelaksanaannya.
Namun nampaknya wujud segelintir penggubal undang-undang yang ragu mengenai rang undang-undang tersebut, termasuk Speaker Dewan Negara Rais Yatim yang berkata bahawa tidak praktikal untuk membenarkan remaja berumur 18 tahun mengundi ketika ini.
Ahli politik berusia 78 tahun itu tidak sendirian. Banyak juga warga media sosial yang pernah mengundi turut mempersoalkan Undi 18.
Mereka berkata belia 18 tahun tidak cukup matang untuk membuat keputusan yang akan mempengaruhi masa depan negara.
Sebilangan belia dilihat bersetuju dengan pandangan itu.
Muhammad Fathullah Zulqarnain yang baru sahaja menduduki peperiksaan SPM, dari Pekan, Pahang berkata dalam pergaulannya dengan rakan-rakan mereka merasakan masih tidak bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya.
“Saya rasa saya tidak sedia untuk mengundi,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Ketika saya melihat rakan-rakan saya, saya tidak nampak kami tunjukkan tanda-tanda sudah sedia. Kami masih naif, dan banyak hal yang perlu dipelajari mengenai politik.”
Bagi Muhammad, hal inilah yang membuatnya bimbang.
“Bolehkah anda bayangkan jika orang muda buat pilihan yang buruk kerana pengaruh negatif politik? Ini boleh bahayakan masa depan negara.”
Bagaimanapun, sebahagian lagi beranggapan, idea yang mengatakan generasi mereka belum bersedia untuk mengundi adalah masalah sebenar ketika ini.
Nurul Rifayah Muhammad Iqbal, 18, berkata bahawa politik sering digambarkan sebagai sesuatu yang perlu ditakuti.
Kecelikan politik harus menjadi topik yang boleh diakses remaja, katanya kepada MalaysiaNow.
“Saya fikir generasi saya tidak bersedia kerana kami tidak mempunyai kebebasan untuk membicarakannya,” katanya.
“Bahkan kami tidak boleh namakan ahli politik dalam kertas ujian, kerana mereka gambarkan politik sebagai sesuatu yang harus kita elak.”
Sedangkan pada akhirnya, isu itu lebih besar daripada sekadar arena politik negara, katanya.
“Kami tahu ini bukan sekadar soal politik. Ia mengenai hak-hak kami.
“Sekiranya anda fikir kami tak sedia, maka anda adalah orang yang harus mengubah sistem dan buat kami faham kenapa kami harus mengundi untuk negara.”
Muhamad Zikry Muhammad Said dari Semenyih, Selangor, berkata dirinya bertanggungjawab untuk mendidik diri dan juga rakan-rakannya mengenai hal ehwal semasa politik negara.
“Kami tidak boleh lari dari politik,” kata Zikry yang berusia 19 tahun.
“Sekiranya saya bertemu dengan rakan-rakan saya, saya akan cuba bincang politik dan isu-isu semasa. Dengan cara itu, mereka akan tahu isu-isu semasa di negara ini.”
Menurutnya, dengan kewujudan internet, teknologi yang semakin maju dan media sosial, maklumat terkini mudah untuk diketahui.
Nawal Athirah Omar berkata, melalui media sosial beliau sedar peranannya di negara ini sangat penting berbanding apa yang beliau dengar sebelum ini.
“Saya berumur 17 tahun ketika saya mula membaca politik melalui media sosial,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Ketika itulah saya sedar bahawa belia perlu diberi kuasa untuk memahami bahawa mereka penting untuk masa depan negara.”
Nawal berkata, generasinya harus diperkenalkan dengan sistem pengundian sebagai cara meningkatkan kesedaran politik di kalangan pemuda.
“Undi 18 seharusnya jadikan generasi muda bangun,” tambahnya.
Namun, nada pesimis juga turut muncul, “Hanya kerana mereka dengar kami bukan bererti mereka faham kami.”
Muhammad Ariff Aiman dari Pengkalan Chepa, Kelantan berkata dia memiliki harapan besar untuk masa depan negara. Namun dia bimbang suaranya tidak mewakili majoriti generasinya.
“Kami tidak memiliki platform untuk ungkap perasaan,” katanya.
“Pandangan kami juga progresif. Kami sedar bahawa ada beberapa perkara di negara ini perlu berubah.”
Nawal juga mempunyai keraguan dan sedikit risau.
“Mungkin entah-entah kami hanya golongan minoriti yang lantang. Itulah yang saya risaukan.”