- Iklan -
Berita

Hukuman bukan cara selesaikan masalah disiplin murid, kata pakar

Pakar mengesyorkan untuk ibu bapa, guru teliti akar permasalahan tingkah laku berbanding menggunakan hukuman keras.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang  berjalan pulang ke rumah masing-masing setelah tamat sesi persekolahan.
Beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang berjalan pulang ke rumah masing-masing setelah tamat sesi persekolahan.

Pakar tidak menggalakkan golongan pendidik untuk menggunakan pendekatan hukuman sebagai cara menangani masalah disiplin kerana ia akan mencetuskan perasaan memberontak dengan tingkah laku negatif.

Mereka memberitahu MalaysiaNow, kaedah lebih produktif adalah menyelesaikan akar kepada masalah itu berbanding respons secara terus terhadap perilaku yang ditunjukkan.

Hal ini dibangkitkan susulan beberapa laporan berkenaan murid sekolah menengah di Kelantan yang menulis perkataan mencarut di baju sekolah terhadap guru sekolah mereka selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Murid-murid tersebut kemudian didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 4, Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100.

Dalam satu laporan lain, seorang murid dikatakan membuang buku ke dalam sungai bagi meraikan peperiksaan yang selesai dijalaninya.

Kesemua kejadian tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial dan mencadangkan agar tindakan disiplin perlu dilaksanakan ke atas murid-murid tersebut.

Antara cadangan yang diutarakan adalah penggunaan sistem dimerit yang memberikan markah sepanjang pengajian mereka bagi peluang pekerjaan dan kemasukan universiti.

Bagaimanapun, bagi seorang pengamal pendidikan awal kanak-kanak, Putri Afzan Maria Zulkifli berkata hukuman tidak harus menjadi pilihan utama dalam menyelesaikan masalah disiplin.

Katanya, ada perbezaan antara menyelesaikan masalah hanya pada permukaan dan menyelesaikan sesuatu masalah pada akarnya, kerana isu disiplin adalah masalah yang terus berlaku di sekolah.

Kebiasaannya, Putri berkata, kekurangan jalinan hubungan antara guru dan murid disebabkan tekanan untuk menyelesaikan silibus dan terpaksa menyiapkan kertas kerja tidak memungkinkan mereka membina hubungan rapat.

Katanya, tanpa hubungan baik antara guru dan murid, tidak akan timbul kepercayaan sesama mereka.

“Guna hukuman lebih berat atau selesaikan masalah disiplin dengan pendekatan keras bukan penyelesaian jangka panjang,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ia hanya akan buat mereka lebih memberontak.”

Katanya, sebaliknya kementerian pendidikan harus meningkatkan kesedaran dalam kalangan guru, pembuat dasar dan ibu bapa tentang kepentingan membesarkan anak-anak dengan nilai dan etika yang baik dan menambah golongan dewasa perlu memberikan kerjasama dalam membantu anak-anak bermasalah.

Beliau turut menggesa kementerian untuk menilai semula pendidikan Islam dan moral di sekolah supaya ia betul-betul “berfungsi”.

“Apakah subjek-subjek tersebut diajar hanya untuk lulus periksa?”

Presiden Parent Action Group for Education Noor Azimah Abdul Rahim turut bersetuju hukuman tidak akan menyelesaikan isu disiplin.

Azimah memberitahu MalaysiaNow tindak tanduk negatif adalah petunjuk kepada masalah kesihatan mental, kerana murid-murid tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, pakar kaunseling profesional boleh berperanan dalam membantu murid sedemikian.

“Pastikan pakar kaunseling di sekolah betul-betul layak dan dilatih secara profesional bagi menangani isu-isu demikian dari mula hingga selesai.

“Mereka mesti terdiri daripada pakar-pakar sepenuh masa, bukannya guru-guru separuh masa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Putri, sistem sokongan harus disediakan agar murid boleh berkongsi masalah mereka.

“Secara saintifik, ketika anak-anak menunjukkan perilaku, ia adalah disebabkan ketidakpuasan emosi. Jadi, tingkahlaku yang kita tengok dari remaja-remaja tersebut mungkin kerana itu.”

Namun Putri dan Azimah bersetuju bahawa guru-guru hanya boleh melakukan peranan sehabis baik ketika berdepan dengan murid, namun, adalah tanggungjawab ibu bapa untuk menanam nilai-nilai yang baik dalam diri anak-anak.

“Peranan ibu bapa tidak boleh dibuat main-main.

“Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membentuk mereka dengan nilai-nilai yang baik. Sementara guru-guru adalah penyokong,” kata Azimah.