Seorang ahli Parlimen PKR yang juga merupakan orang kuat kepada Anwar Ibrahim, memuji bekas perdana menteri Najib Razak dalam sebuah forum yang disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan malam tadi.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar berkata, bekas perdana menteri Najib Razak menunjukkan kepimpinannya apabila membiarkan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya 2018.
“Cuba kita tengok, Najib. Saya pernah sebut di dalam Dewan Rakyat. ‘He’s the most hated prime minister,” kata ketua penerangan PKR itu dalam program “Agenda Awani: Dialog Konsensus Nasional” yang disiarkan di Astro Awani malam tadi.
“Tapi bila kalah PRU14, dia hand over. Waktu tu kita ada macam-macamlah yang kita mainkan, ada ‘National Security Council’, boleh buat huru-hara dan sebagainya, itu tidak berlaku.”
Shamsul berkata, Najib menunjukkan kepimpinannya dengan menyerahkan kuasa kepada PH pada ketika itu secara aman.
“Sekarang ini, kita nak mintak Muhyiddin (Yassin), hentikan ‘uncertainty’. Bawak pergi Parlimen buat ‘vote of confidence’, tunjukkan perdana menteri ada confidence,” katanya.
Kenyataan ini menguatkan lagi dakwaan PKR bekerjasama dengan “kluster mahkamah” Umno, merujuk kepada pemimpin-pemimpin parti itu yang berdepan dengan pendakwaan rasuah di mahkamah dan sudah disabitkan bersalah.
Pada Oktober, MalaysiaNow mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib, menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Anwar menjadi perdana menteri.
Minggu lalu, Anwar mendedahkan perbincangan sudah bermula antara PKR dan Umno dalam satu wawancara bersama akhbar berbahasa Melayu.
Bagaimanapun, pendedahan Anwar itu tidak mendapat reaksi yang baik daripada beberapa ahli Parlimen PH dan pembangkang yang menyelar kerjasama secara terbuka.
Mereka turut menyelar cakap-cakap berterusan tentang cubaan merampas kerusi perdana menteri termasuk mempunyai “bilangan” mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan, dakwaan yang berulang-ulang kali dikeluarkan Anwar sejak kerajaan PH tumbang tahun lalu.
“Selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton yang menyakitkan, kami mahu terus bergerak ke hadapan. Kita tidak pernah kekurangan bakat dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang,” kata kenyataan bersama yang ditandatangani Ramkarpal Singh dan Hannah Yeoh dari DAP, Darell Leiking dari Warisan, Maria Chin Abdullah dari PKR dan Syed Saadiq Abdul Rahman dari Muda pada Khamis.
Sehari sebelum itu empat ahli Parlimen pembangkang dan seorang pemimpin DAP menggesa agar Anwar untuk menolak kerjasama dengan pemimpin kleptokrat Umno dan mengukuhkan kesepakatan pembangkang.
Gesaan tersebut disuarakan tiga ahli Parlimen iaitu Salahuddin Ayub (Amanah-Pulai), Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), dan Syed Saddiq.
Senator Liew Chin Tong dan pemimpin Parti Sarawak Bersatu Baru Bian turut serta menandatangani kenyataan tersebut.
Pendedahan Anwar itu turut mendapat reaksi negatif daripada kepimpinan Umno termasuk, timbalan presiden, naib presiden, ketua penerangan dan ketua Pemuda.
Bagaimanapun, Zahid dan Najib masih tidak memberikan sebarang komen berhubung rundingan dengan PKR yang didedahkan Anwar.