- Iklan -
Berita

Tidak perlu lagi ujian saringan 3 hari sebelum berlepas untuk masuk Sarawak

Keputusan itu dibuat setelah menilai situasi semasa Covid-19 di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang kini dilihat terkawal.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan petugas barisan hadapan berehat sebentar sementara menunggu penduduk sekitar Petaling Jaya untuk melakukan ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jalan PJS 1/35, Petaling Utama baru-baru ini. Gambar: Bernama

Individu yang mahu memasuki Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak lagi perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan ke negeri ini, berkuat kuasa Isnin ini.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN) Douglas Uggah Embas berkata keputusan itu dibuat setelah menilai situasi semasa Covid-19 di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang kini dilihat terkawal.

“Bagaimanapun individu berkenaan masih perlu mengisi maklumat melalui ‘EnterSarawak’ secara dalam talian (https://entersarawak.socoe.co/register) dengan memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan.

“Arahan kuarantin selama 14 hari di Sarawak masih lagi berkuat kuasa,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Kuching, hari ini.

Mengenai situasi Covid-19 di Sarawak, Uggah berkata terdapat 154 kes jangkitan baru yang dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 13,974 kes.