- Iklan -
Berita

Benarkah perceraian sukar dielak dalam dunia media sosial?

Bila sudah jatuh cinta, patutkah wanita moden kejar atau terus kekal dalam rumah tangga yang tidak bahagia?

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi

Semakin banyak perkahwinan dalam kalangan warga Malaysia menemui jalan buntu untuk terus kekal teguh.

Dahulu, pasangan-pasangan yang berkahwin sering merasa perlu bertahan dalam sesebuah rumah tangga yang tidak bahagia dan terus membungkam derita hanya semata-mata kerana malu untuk bercerai.

Akan tetapi pada hari ini, perpisahan dan perceraian bukan lagi taboo dan tiada lagi stigma seperti zaman dahulu.

Jadi, tidak mengejutkan apabila tekanan sosial sudah tidak wujud bagi terus menderita dalam rumah tangga, ramai yang memilih untuk bercerai.

Angka-angka baru dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah perceraian semakin meningkat dari 51,000 pada 2018 kepada 57,000 pada 2019 bersamaan 12% peningkatan dalam tempoh setahun.

Menurut statistik, purata umur pasangan yang bercerai ialah 37 tahun bagi lelaki, dan 34 bagi wanita.

Seorang peguam yang memiliki 19 tahun pengalaman mengendalikan kes perceraian, Ezane Chong berkata kes perceraian semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Segelintir pasangan yang baru kahwin, sudah ingin bercerai pada tahun pertama perkahwinan, sedangkan petisyen cerai tidak boleh dibentang dalam tempoh 2 tahun pertama perkahwinan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pengalaman Chong juga turut mengesahkan angka-angka yang dikeluarkan DOSM.

“Perceraian adalah satu hal yang biasa dalam kalangan milenial, lebih-lebih lagi yang 30-an, walaupun sudah ada anak kecil,” katanya yang juga merupakan felo di International Academy of Family Lawyers (IAFL).

Chong berkata, antara alasan yang paling biasa diadukan klien-kliennya masih hal yang sama.

Ia termasuk tiada persefahaman sehingga timbul konflik, perselingkuhan pasangan, tiada wang, penderaan fizikal dan mental atau masing-masing sudah merasa tidak sehaluan.

Namun, katanya lagi, wujud beberapa alasan baru yang turut mengejutkan ibu bapa klien.

Jika seorang pasangan, yang biasanya si suami, keluar bekerja, bermusafir jauh atau sering kerja hingga lewat malam, isteri yang ditinggalkan “waktu dulu-dulu” akan habiskan masa tonton televisyen atau hal-hal yang pasif.

Berbeza dengan hari ini, pasangan yang tinggal di rumah akan habiskan waktu dengan komputer riba dan telefon pintar, mereka aktif meneroka pelbagai aplikasi dan laman sesawang yang memberi ruang untuk berkenalan dengan orang baru, dan seterusnya membina hubungan.

Media sosial seperti Facebook dan WhatsApp menjadikan setiap pasangan moden dapat berhubung dengan “kenalan” mereka dengan hanya satu klik.

Kenalan mereka itu dianggap boleh membelai mereka dan menjadi tempat mengadu nasib apabila berdepan masalah dengan pasangan sendiri.

Tanpa kemudahan ini, sesebuah pasangan tidak memiliki ruang untuk cuba menyelesaikan masalah mereka selepas pergaduhan, melainkan terpaksa kekal tinggal sebumbung “demi anak-anak.”

Sebelum ini, seorang suami yang akan memulakan perceraian, namun disebabkan kebebasan kewangan dan sokongan kumpulan-kumpulan di media sosial meningkatkan lagi pilihan dan pengaruh ke atas keputusan yang diambil oleh si isteri.

“Wanita hari ini kurang motivasi untuk kekal dalam sebuah perkahwinan yang tidak bahagia sekiranya dia juga seorang yang bekerjaya dan tidak perlu mengharapkan suami,” kata Chong yang juga merupakan felo kanan peguam keluarga.

Bagaimanapun, Chong berkata, ada juga perkara yang tidak berubah.

Dia percaya pasangan yang membina keluarga perlu sentiasa mengutamakan anak-anak, dan mereka perlu menjadi pertimbangan dalam sebarang keputusan yang diambil.

“Jika sebuah perkahwinan masih boleh diselamatkan dan kedua-dua pihak berazam untuk komited menjaga urusan anak-anak, maka ia adalah keputusan yang terbaik untuk keluarga itu,” katanya.

“Namun, jika sesebuah perkahwinan atau hubungan sudah rosak dan mencetuskan suasana yang tidak sihat bagi membesarkan anak-anak, maka tak berbaloi untuk bertahan.”

Pakar psikologi sosial, Elaine Fernandes memberitahu MalaysiaNow pemerkasaan wanita moden terutama melalui kebebasan kewangan, mengurangkan keinginan isteri-isteri yang tidak bahagia untuk mempertahankan rumah tangga mereka.

“Ini bermakna, pasangan muda mungkin mengutamakan aspek-aspek lain dalam sesuatu hubungan, seperti keserasian, ketika hidup bersama,” katanya.

“Ketika ini lebih banyak penekanan terhadap kepuasan seseorang dalam sesuatu hubungan dan kekurangan toleransi menjadikan tingkah laku toksik berlaku dalam sesebuah hubungan seperti memanipulasi pasangan dan merendahkan mereka. Penekanan itu berlaku kerana kesedaran masyarakat tentang kesihatan mental sudah meningkat.”

Selain itu, menurut Fernandez, media sosial, aplikasi “dating” seperti Plenty of Fish turut menyediakan pilihan lain untuk mereka jadikan pasangan.

Apabila pilihan semakin banyak di dalam talian, semakin sukar untuk orang muda setia kepada pasangannya.

“Hal ini tak menjadi isu ketika orang ramai berpasangan dengan komuniti mereka yang terdekat, dan kurang pengetahuan selain tiada pendedahan terhadap hal-hal yang menjangkaui lingkungan mereka,” kata Fernandez.

Apabila semakin mudah pasangan itu menambah kumpulan sosialnya, ia menjadikan kemungkinan untuk bertemu orang lain yang lebih serasi turut bertambah.

Baik di dalam talian mahupun di dunia realiti, kehidupan sangat berbeza bagi generasi media sosial.

Walaupun pilihan sama ada kekal atau robohkan sesebuah rumah tangga adalah satu persoalan peribadi, Fernandez menasihatkan pasangan muda untuk kenal pasti dan jelaskan alasan-alasan mereka sebelum membuat keputusan.

Jika sebab yang menyatukan mereka semasa mula bersama masih relevan, maka, sangat penting untuk mereka duduk berbicara secara jujur, dan cuba mencari penyelesaian bagi mengekalkan hubungan, katanya.

“Jika komunikasi sangat sukar, dan anda tak tahu bagaimana hendak bermula, berbaloi sebetulnya jika pasangan mengadu hal mereka kepada pakar, seperti ahli terapi pasangan untuk bantu selesaikan isu bersama dengan selamat dan persekitaran yang neutral.”

Pakar profesional juga sudah semakin banyak ketika ini, dan dengan hanya satu klik tetikus komputer, barangkali pasangan akan sedar mereka tidak perlu mengelak untuk berdepan dengan isu rumah tangga sendiri.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.