Program perintis untuk menggalakkan kecelikan digital dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah menutup tirainya selepas enam bulan inisiatif bersama Orang Asli di Bukit Lanjan, Selangor.
Program #SayaDigital diselia oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sebuah agensi kerajaan yang berperanan menerajui ekonomi digital negara telah memberikan manfaat kepada 300 orang peserta setakat ini sebelum ia dirasmikan di seluruh negara.
Program tersebut merangkumi tiga program secara fizikal dan sembilan lagi program atas talian yang menyasarkan kumpulan-kumpulan yang berpendapatan rendah.
Projek-projek itu juga merupakan sebahagian gerakan #SayaDigital yang dilancarkan pada Ogos 2020 telah mendedahkan peserta kepada latihan kecelikan digital. Ia turut sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan MyDigital yang diumumkan kerajaan.
Usaha menyasarkan keluarga-keluarga B40, penganggur, warga emas dan belia. Ia juga mendedahkan kepada kumpulan-kumpulan sasaran bahawa kecelikan digital dapat membantu kehidupan di samping turut memudahkan mereka untuk meluaskan perniagaan dan masa depan karier.
“Inisiatif memperkasa mereka dengan pengetahuan dan kemahiran digital untuk semua lapisan masyarakat akan membolehkan Malaysia terus berkembang dalam pada masa yang mencabar ini dan seterusnya mendorong untuk mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.
Sementara itu, Pengerusi MDEC Rais Hussin Mohamed Ariff berkata pandemik Covid-19 telah menekan keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah sehingga mereka terpaksa beradaptasi dengan dunia yang umumnya bergantung dengan teknologi.
“Ketika dunia mengalami perubahan drastik disebabkan pandemik, penerapan teknologi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) sangat penting.
“MDEC sentiasa bersemangat melaksanakan amanahnya dan tidak hanya membawa inovasi di tempat kerja dan perniagaan sebaliknya turut melengkapi rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran digital terutamanya kelompok sosio ekonomi yang rentan,” kata Rais.
Di bawah program tersebut juga, peserta-peserta dibantu dengan mengikut tahap kecelikan mereka untuk mempelajari modul-modul yang telah disediakan.
Latihan tersebut turut termasuk penggunaan platform-platform e-komunikasi, perbankan atas talian dan e-wallet di samping beberapa aplikasi perkhidmatan digital.
Setakat ini, 25 belia dilatih sepanjang inisiatif ini dan mereka boleh memindahkan kemahiran mereka kepada keluarga dan masyarakat.
“Ini merupakan bengkel interaktif yang menyeronokkan kerana kami dibantu oleh para pelatih berwawasan dan bersemangat.
“Saya telah belajar banyak perkara pada hari ini dan yakin akan dapat memanfaatkan pengetahuan ini dalam norma dan cabaran baru yang sedang kita jalani, ” kata Dawit, 42, seorang Orang Asli Temuan.