- Iklan -
Berita

Zii Jia rangkul gelaran juara All England

Zii Jia mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang permainan dan berjaya menundukkan Axelsen buat kali kedua.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Lee Zii Jia ketika meraikan kejayaannya mengalahkan Viktor Axelsen ketika kejuaraan All England. Gambar: AFP
Lee Zii Jia ketika meraikan kejayaannya mengalahkan Viktor Axelsen ketika kejuaraan All England. Gambar: AFP

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencipta sejarah apabila merangkul gelaran All England buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen pada aksi final di Birmingham hari ini.

Pertarungan mendebarkan itu menyaksikan Zii Jia mempamerkan semangat juang tinggi sebelum melakarkan kemenangan 30-29 pada set pertama ke atas pemain nombor dua dunia dari Denmark itu dalam saingan selama 30 minit.

Pada set kedua, Axelsen mula menguasai permainan dengan mendahului 14-11 sebelum Zii Jia mula mengorak langkah untuk mengumpul tujuh mata berturut-turut sehingga merampas kedudukan pendahulu dengan 18-14.

Bagaimanapun, Axelsen bangkit semula untuk mengejar mata dan berjaya memenangi set kedua 22-20 untuk membawa saingan ke set penentuan.

Pada set ketiga, Zii Jia mengambil kesempatan apabila Axelsen nampak kepenatan dan semakin hilang tumpuan sehingga pemain negara itu mendahului 11-5, sekali gus meneruskan cabaran untuk merangkul kejuaraan dengan kemenangan 21-9 pada pertarungan selama 74 minit di Utilita Arena.

Ini adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Zii Jia muncul pemain pertama negara merangkul gelaran berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh negara Lee Chong Wei yang menewaskan pemain China, Shi Yu Qi, 21-12, 21-10 pada final edisi 2017.

Selaku juara, anak muda berusia 22 tahun dari Alor Setar, Kedah, itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM244,344).

Zii Jia mengakhiri kemarau gelaran hampir tiga tahun selepas menjuarai Terbuka Taiwan pada 2018 dengan mengatasi pemain Jepun, Riichi Takeshita of Japan, 21-17, 16-21, 21-11.

Kejuaraan tersebut sudah pasti memberi suntikan semangat dan meningkatkan keyakinan selepas memulakan musim ini dengan hambar susulan kekalahan terbaru di tangan pemain Thailand, Klavut Vitidsarn, 18-21, 10-21 pada Terbuka Swiss, awal bulan ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berasa gembira dengan pencapaian hebat pemain itu dan mengucapkan tahniah kepada kem badminton negara.

“Saya dapat rasakan seluruh rakyat Malaysia turut bersorak memberi sokongan dan meraikan kejayaan yang manis ini. Ia adalah persembahan hebat dan menakjubkan oleh Lee Zii Jia,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Dalam pada itu, Jepun menguasai kejohanan tersebut dengan merangkul gelaran beregu lelaki dan wanita, perseorangan wanita dan beregu campuran.

Dalam final acara beregu lelaki, Endo-Yuta Watanebe mengalahkan gandingan senegara Kamura-Keigo Sonoda 21-15,17-21, 21-11 manakala Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara turut melakarkan kejayaan mengatasi rakan sepasukan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, 21-18, 21-16.

Dalam acara final perseorangan wanita, Nozomi Okuhara menjinakkan pemain Thailand Pornpawee Chochuwong 21-12, 21-16, untuk merangkul gelaran juara wanita manakala dalam acara beregu campuran menyaksikan pertembungan Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dan beregu senegara Yuta Watanebe-Arisa Higashino.

 

 

 

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.