Penganjuran Perhimpunan Agung Umno 2020 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
Beliau berkata perhimpunan akan dijalankan secara hibrid yang menggabungkan kehadiran fizikal di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur dan secara maya di 190 bahagian di seluruh negara kecuali Sarawak.
Perhimpunan akan diadakan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.
“Selain itu, bagi tujuan pematuhan SOP, Umno akan menambah anggota keselamatan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Skuad Sabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, perhimpunan kali ini tidak menjemput pemerhati awam dan bukan perwakilan serta tiada gerai jualan dan kenderaan tamu saji dibenarkan beroperasi sepanjang perhimpunan berlangsung.
Katanya perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada Sabtu, diikuti upacara menaikkan bendera dan ucapan dasar Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad.
Ahmad berkata ucapan dasar presiden, timbalan presiden dan ketua-ketua sayap akan disiarkan secara langsung di Facebook Umno Online.
“Perbahasan adalah berkaitan ucapan dasar ketua-ketua sayap dan ucapan dasar presiden. Ucapan dasar mereka akan menyentuh isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa dan isu semasa seperti Covid-19 dan vaksin,” katanya.
Perhimpunan yang akan menarik perhatian banyak pihak itu menerima permohonan liputan daripada 42 agensi media cetak dan elektronik.