- Iklan -
Berita

Kesan minima kepada Malaysia selepas kapal tersangkut di Terusan Suez

Jumlah perdagangan Malaysia di rantau itu tidak terlalu besar walaupun mungkin terdapat kelewatan penghantaran ketika usaha berterusan untuk mengapungkan semula kapal kargo Ever Given berukuran 400 meter itu.

Farhira Farudin dan Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Kapal Ever Given tersangkut di Terusan Suez, Mesir. Gambar: AP
Kapal Ever Given tersangkut di Terusan Suez, Mesir. Gambar: AP

Sumber dalaman industri menjangka Malaysia hanya menanggung kesan minimum selepas trafik marin terhenti di Terusan Suez – salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia – akibat sebuah kapal kargo berukuran 400 meter terkandas.

Ever Given, sebuah kapal milik Jepun yang membawa 200,000 kontena barang-barang pengguna ke pasaran Eropah, terkandas semalam setelah tersangkut merintangi Terusan Suez di Mesir, berikutan angin kencang dan ribut debu.

Dianggarkan sekitar 150 kapal sedang menunggu untuk laluan kapal itu kembali lancar.

Terusan Suez berfungsi sebagai penghubung antara benua Afrika dan Asia, selain menerima sekitar 10% perdagangan maritim antarabangsa.

Menurut jurnal perkapalan, Lloyd’s List, kejadian kapal kandas itu menyebabkan lalu lintas perdagangan harian maritim bernilai kira-kira AS$9.6 bilion terhenti di kedua-dua arah.

Kebanyakan kapal kargo yang melalui laluan itu membawa keperluan pengguna yang tidak tahan lama termasuk minyak mentah dari Asia menuju ke Eropah.

Bagaimanapun, jumlah perdagangan Malaysia di rantau itu tidak terlalu besar.

“Kita tidak membeli dengan banyak di rantau itu,” kata seorang operator maritim kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

“Jika anda mempunyai barangan yang sedang dihantar dan memerlukannya untuk sampai ke tempat pembeli dan jika ianya sensitif kepada masa, barulah akan terjejas.

“Namun Malaysia bukanlah pengeksport besar di rantau itu kerana kita tidak menerima barangan dalam kuantiti besar dari Terusan Suez.”

Pakar berkata, insiden kapal itu boleh memberikan kesan kepada ekonomi dunia bergantung kepada berapa segera perairan dapat kembali lancar.

“Semakin lama dia ditutup semakin besar kesan dia kepada ekonomi,” kata ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiri Tun Razak.

Sementara profesor ekonomi dari Sunway University Business School Yeah Kim Leng berkata kerugian besar akan ditanggung syarikat perkapalan.

“Memandangkan ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mengalihkan kapal itu bagi menjadikan laluan kembali lancar, berkemungkinan ia hanya memberikan kesan kecil kepada ekonomi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, syarikat maritim tempatan berkata kapal kargo mereka akan terjejas dari segi jangkaan waktu ketibaan.

Disebabkan laluan tersekat, kapal kargo kini perlu menggunakan laluan lain melalui Africa menuju ke Rotterdam, Belanda.

“Ia menyebabkan kelewatan selama 26 hari,” kata pengarah Maritime Network Sdn Bhd yang berpangkalan di Klang, Jeyenderan Ramasamy.

Katanya, ia akan menyebabkan kos bertambah disebabkan perjalanan lebih jauh memerlukan lebih banyak minyak.