Pakar-pakar dalam bidang perubatan dan sains politik mengalu-alukan inisiatif parti politik menawarkan bantuan guaman percuma bagi orang yang didenda RM10,000 selain turut mempersoalkan langkah kerajaan menaikkan amaun kompaun yang pada asalnya RM1,000 bagi mereka yang melanggar SOP Covid-19.
Kompaun sebanyak RM10,000 itu dikuatkuasa awal bulan ini di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 di samping turut mewartakan denda maksimum RM100,000, penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pindaan terhadap undang-undang SOP Covid-19 itu menerima kritikan hebat kerana amaun dendanya yang dianggap terlalu besar bagi mereka yang tidak sengaja melanggar SOP termasuk kesalahan gagal mendaftar dalam senarai pengunjung premis perniagaan atau tidak memakai pelitup muka di kawasan awam.
Susulan pewartaan undang-undang tersebut, beberapa parti politik termasuk Umno, PKR dan MCA menawarkan khidmat guaman percuma bagi membantu mereka didenda berunding amaun denda yang dikenakan.
Penganalisis politik, Wong Chin Huat memuji usaha-usaha dilakukan tersebut dan menyifatkannya sebagai inisiatif politik yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Wong turut menambah, usaha tersebut boleh memastikan keluhuran undang-undang berjalan dengan baik dan mencabar sebarang pendakwaan terpilih pihak berkuasa.
Beliau memberitahu MalaysiaNow orang ramai bukan sekadar bimbang mengenai amaun kompaun tersebut, mereka turut bimbang kemungkinan berlaku pendakwaan “pilih bulu” dalam pelaksanaannya.
“Bila undang-undang boleh diubah, maka rakyat ada hak untuk persoalkan sama ada mereka didenda sebab tak ikut peraturan atau kerana mereka bukan VIP,” katanya.
Seorang peguam dari MCA pula memberitahu MalaysiaNow banyak panggilan diterima daripada orang awam mengenai khidmat guaman percuma parti itu.
Mereka yang menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan akan diproses termasuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang perlu atau bukti mengenai kompaun tersebut, selain meneliti rakaman CCTV di premis perniagaan dan mengadakan perbincangan dengan polis.
Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Dr Raj Kumar Maharajah berkata amaun denda tersebut terlalu tinggi dan sepatutnya hukuman perlu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan mengkaji semula amaun denda itu lebih-lebih lagi ketika orang ramai berdepan dengan kesempitan hidup.
“Jika mereka tidak mampu membayar kompaun dan dipenjarakan, ia hanya akan menyebabkan penjara-penjara penuh dan membazirkan wang pembayar cukai,” katanya.
Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Christopher Lee pula berkata pelaksanaan SOP mesti dilakukan secara telus dan konsisten.
Beliau berkata, pendekatan untuk mendidik harus dititikberatkan selain pelaksanaannya harus seimbang dengan nilai belas kasihan dan empati.
“Garis panduan yang diumumkan lewat sedikit tentang ‘diskaun’ denda itu boleh dianggap sebagai memberikan lebih banyak penjelasan dan keadilan,” katanya merujuk sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan pada 17 Mac lalu.
Pada sidang media tersebut, Takiyuddin memberikan beberapa senario di mana diskaun boleh diberikan termasuk kepada mereka yang membayarnya dalam tempoh seminggu atau dua minggu dari tarikh kompaun dikeluarkan.
Beliau turut menjelaskan kategori bagi setiap kesalahan dengan amaun kompaun yang setimpal dengan kadar kesalahan tersebut.
Takiyuddin dan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob turut menjamin mereka yang didenda dengan amaun maksimum RM10,000 boleh membuat rayuan di pejabat kesihatan daerah bagi mengurangkan denda.
Ismail berkata pihak berkuasa akan menggunakan budi bicara mereka bagi menentukan amaun yang perlu dibayar sementara Takiyuddin menjelaskan amaun yang tertera di notis kompaun bukanlah amaun tetap kerana rayuan masih boleh dilakukan.
Felo Institut Yusof Ishak-ISEAS Singapura, Lee Hwok Aun berkata tindakan ahli politik dan harapan ramai orang sudah lama berputar di sekitar penyediaan perkhidmatan awam.
“Orang ramai pergi jumpa ahli Parlimen dan Adun untuk selesaikan isu infrastruktur dan kemudahan, bantu selesaikan aduan orang ramai, pergi kenduri kahwin dan kematian dan lain-lain.
“Parti-parti politik dari dulu lagi tawar bantuan guaman untuk isi keperluan itu, ya memang, untuk tingkatkan populariti,” katanya.
Menurut Lee, kekecewaan yang timbul ketika ini adalah berpunca daripada sekatan pergerakan dan mengalami sendiri pelaksanaan yang tidak konsisten mengenai SOP Covid-19.
Hal ini juga, katanya, menyebabkan kerajaan berdepan “masalah reputasi”
“RM10,000 itu memang dilihat melampau walaupun ada parti politik datang bantu mereka yang didenda.”
Berbeza sedikit dari Lee, Wong sebaliknya lebih pragmatik mengenai perkara tersebut.
“Kita tak boleh naif sangat, seakan kerajaan dan parti politik mesti jadi malaikat.
“Apabila apa yang mereka buat beri manfaat kepada rakyat, kita kena sokong.
“Namun, sekiranya apa yang mereka buat tak beri manfaat kepada rakyat, kita kena kritik,” katanya.