- Iklan -
Berita

Pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik, Undi18 dijangka September 2022

SPR sedang menyediakan satu laporan interim berhubung kedua-dua perkara tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 dijangka akan dilaksanakan selepas 1 September tahun depan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya.

“Walau bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR. Justeru, Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangkakan boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau berkata SPR sedang menyediakan satu laporan interim berhubung kedua-dua perkara tersebut.

Menurutnya, berdasarkan rekod SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang. Daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang. Manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

“SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada bulan Ogos 2021, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.” tambahnya.

Pada 16 Julai 2019, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pentadbiran Pakatan Harapan bagi merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Rang undang-undang tersebut turut membenarkan pendaftaran pemilih automatik dan membenarkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas untuk bertanding pilihan raya.

Usul tersebut diluluskan dengan 211 undi di Dewan Rakyat.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi