Pemimpin PAS merayu Umno bersikap lebih rasional sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada pilihan raya akan datang di saat pemimpin dan perwakilan Umno berkumpul dari seluruh negara untuk perhimpunan agung esok.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Awang Hashim berkata sebagai parti Islam yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan Bersatu, PAS akan berusaha untuk memastikan kedua-dua parti Melayu yang bertelagah itu memperbaiki hubungan mereka sebelum PRU15.
Malah menurut Awang, beliau optimis masalah ini akan selesai jika mereka meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
“Jika Umno terbuka pintu hati untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN), PAS akan buat apa saja demi penyatuan sesama umat Islam,” kata timbalan menteri sumber manusia itu kepada MalaysiaNow.
PAS dan Bersatu adalah antara parti komponen Perikatan Nasional (PN), gabungan yang dibentuk selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.
Umno bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak berada dalam pakatan itu walaupun ahli Parlimennya yang terdiri daripada 30 orang turut terlibat menyokong pembentukan blok kerajaan PN di Parlimen.
Walaupun memberi sokongan dalam pembentukan PN, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak dilihat mengepalai siri serangan terhadap PN.
Antara rungutan kedua-dua pemimpin itu ialah Muhyiddin yang mengetuai Bersatu hasil perpecahan Umno selepas Najib terpalit dengan skandal 1MDB pada 2015 telah mengetepikan Umno untuk berada di jawatan penting kerajaan.
Zahid, Najib dan sebahagian pemimpin veteran Umno yang menyokong kedua-dua mereka mendesak PAS untuk keluar dari PN dengan menggunakan alasan piagam Muafakat Nasional yang dimeterai dengan Umno pada tahun 2019 ketika masih di blok pembangkang.
Ahli Parlimen Pendang itu berkata PAS selalu mengutamakan perpaduan umat Islam dalam keputusan politiknya, bukan berdasarkan darjat dan kedudukan.
Awang juga memberi amaran kepada Umno sekiranya langkah yang diambil ialah untuk bekerjasama dengan PKR dan pemimpinnya, Anwar Ibrahim, maka ia akan merosakkan usaha ke arah perpaduan Melayu.
Katanya, pengalaman pemimpin Melayu dalam pemerintahan sebelum ini termasuk Dr Mahathir Mohamad menunjukkan sebarang langkah untuk bekerjasama dengan parti seperti PKR dan DAP akan berakhir dengan kegagalan.
Katanya, walaupun Umno mendapat sokongan Melayu yang kuat, ia tidak akan dapat menangkis fitnah DAP.
“Ini terbukti ketika Dr Mahathir memimpin PH selama 22 bulan, tetapi gagal menguasai DAP, sehinggakan banyak perkara dilakukan secara diam-diam tanpa berunding dengannya sebagai perdana menteri ketika itu,” kata Awang.
Menurut Awang lagi, PAS akan terus mencari jalan untuk membawa Umno dan Bersatu ke meja rundingan, walaupun perhimpunan agung yang akan datang mungkin menyaksikan Umno memutuskan hubungan dengan PN.
Dalam pada itu, Awang juga mengingatkan Umno mengenai risiko besar dalam politik mereka jika menganggap parti itu masih mendapat sokongan rakyat Malaysia.
Menurutnya, sejak berakhir era 22 tahun pentadbiran Mahathir, Umno berada dalam kemerosotan di bawah Najib atau pendahulunya, Abdullah Ahmad Badawi.
Awang turut berkata parti itu juga kehilangan majoriti dua pertiga pada tahun 2008, dan sokongan semakin berkurangan pada 2013, sebelum para pemimpinnya menghadapi kekalahan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya, apa sahaja harapan untuk Umno bangkit semula di bawah Najib pasti akan berakhir hampa.
“Kita ingat semakin baik, tapi Umno semakin teruk. Maknanya graf dia semakin menurun.”