- Iklan -
Berita

SPR perlu kerjasama dengan kerajaan negeri, NGO untuk jayakan Undi 18, kata menteri

Menurut Reezal, negara Asia lain sudah membenarkan rakyat yang berumur 18 tahun mengundi dan layak untuk menjadi calon pilihan raya.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan kerja pembasmian kuman di kotak undi ketika PRN Sabah. Gambar: Bernama
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan kerja pembasmian kuman di kotak undi ketika PRN Sabah. Gambar: Bernama

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan kebenaran untuk rakyat berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, beberapa negara Asia lain sudah membenarkan rakyat yang berumur 18 tahun mengundi dan layak untuk menjadi calon pilihan raya.

“Saya memberi contoh mudah iaitu, pada umur 18 tahun di sisi undang-undang mereka dibenarkan untuk menandatangani kontrak, diberi kepercayaan untuk memasuki badan beruniform polis, tentera,” katanya kepada MalaysiaNow apabila ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya tidak menafikan banyak halangan dan kekangan untuk melaksanakan perkara ini tetapi setidaknya buka lantai kepada penyertaan secara demokrasi kepada generasi muda kerana soal pindaan Perlembagaan ini sudah dipersetujui oleh 211 orang ahli Parlimen.

“Isu ini mengambil masa terlalu lama hanya kerana satu faktor yang tidak boleh diselesaikan.”

Awal minggu ini SPR berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Sementara Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Shahidan Kassim menyerahkan keputusan itu kepada kerajaan berhubung pelaksanaan undi 18.

“Jika ditangguhkan saya sokong, tetapi tiada masalah kerana saya akan patuh dengan penilaian kerajaan dalam membuat keputusan kerana mereka ada ‘otak bijak pandai’ untuk buat keputusan.

“Sekiranya diteruskan saya akan bekerja keras untuk memastikan orang 18 tahun menyokong kami dan jika ditangguhkan kami akan memperbaiki agar mereka dapat mengundi kami,” katanya.

United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia antara negara yang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Kemudian diikuti oleh India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi