- Iklan -
Berita

Umno pengemudi induk, bukan pemain kedua, kata Tok Mat

Mohamad Hasan memperingatkan mereka yang mahu kerjasama dengan Umno perlu yakini ia sebagai parti utama.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Kuala Lumpur, 27 March 2021- Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan mengangkat tangan ketika beliau bersama Sayap dan Barisan Tertinggi Umno berjalan menuju ke Dewan Merdeka bagi perasmian Persidangan Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Kuala Lumpur, 27 March 2021- Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan mengangkat tangan ketika beliau bersama Sayap dan Barisan Tertinggi Umno berjalan menuju ke Dewan Merdeka bagi perasmian Persidangan Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini menegaskan bahawa parti Melayu itu harus menjadi pengemudi utama dalam kerjasama politik di masa depan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) hari ini.

Mohamad Hasan berkata berkata parti itu bukan dipilih sekadar untuk memenuhi kuota atau bilangan ahli Parlimen yang diperlukan dalam usaha membentuk sebarang gabungan baru.

Katanya, tiada individu yang berhak mengarahkan dan memberitahu para pimpinan dan ahli Umno dalam hala tuju membentuk sebuah kerajaan sekiranya mahu bekerjasama.

“Tetapi buat waktu ini, biarlah Umno memilih, untuk memperlihatkan kekuatan sebenarnya, sebagai parti politik, dengan keunggulan tersendiri, tanpa mengorbankan kepentingan strategiknya.

“Dan ini bermakna, Umno tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi Umno. Kerusi Umno adalah kerusi Umno, dahulu, kini dan selamanya. Ia bukan untuk dilepaskan, demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak serta sebahagian pemimpin veteran Umno mendesak PAS untuk keluar dari Pakatan Nasional dengan menggunakan alasan piagam Muafakat Nasional yang dimeterai dengan Umno pada tahun 2019 ketika masih di blok pembangkang.

Walaupun memberi sokongan dalam pembentukan PN, Zahid dan Najib dilihat mengepalai siri serangan terhadap PN.

Antara rungutan kedua-dua pemimpin itu ialah Muhyiddin yang mengetuai Bersatu hasil perpecahan Umno selepas Najib terpalit dengan skandal 1MDB pada 2015 telah mengetepikan Umno untuk berada di jawatan penting kerajaan.

Baru-baru ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga turut mengakui parti itu telah mengadakan rundingan awal dengan pimpinan Umno dan kemungkinan bekerjasama.

Kedua-dua Najib dan Zahid turut dilaporkan menulis surat kepada Istana Negara menyatakan sokongan mereka kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan kepada para perwakilan supaya segera membincangkan strategi terbaik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan Umno membentuk kerajaan di Putrajaya.

“Sama ada kita menang dan memerintah, atau kita sekali lagi menjadi pembangkang dan diperkotak-katikkan! Yang pasti. Kita tiada Pelan B atau apa-apa pelan lain pada waktu ini. Kita mesti menang,” katanya.

Menurut Mohamad, dalam mendepani pilihan raya, Umno tidak boleh keliru dengan siapa musuh sebenar parti itu kerana lebih mudah untuk berdepan dengan musuh yang nyata daripada melawan musuh yang tersembunyi.

“Umno sepatutnya sudah tahu siapa mereka, walaupun tanpa perlu untuk disebutkan di sini. Cuma, beringatlah, musuh kita amatlah licik dan sanggup berbuat apa sahaja untuk memusnahkan kita.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.