Tun Faisal Ismail Aziz yang digantung enam tahun oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadapnya tidak masuk akal.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya itu berkata, penggantungannya juga dilihat sebagai mesej kepada ahli parti supaya mengikut arahan pemimpin.
“Pertama kenapa MKT dipilih buat keputusan, sepanjang saya pegang jawatan MKT dari zaman Pemuda sampai sekarang, MKT tak pernah buat keputusan disiplin dalam Perhimpunan Agung Umno, ini sesuatu yang luar biasa,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.
“Yang kedua kenapa sampai enam tahun, ramai sahabat sahabat termasuk pimpinan Umno dan termasuk lama-lama hairan kerana rasa enam tahun macam pelik sangat. Lokman Adam dulu tiga tahun sahaja.
“Saya rasa ramai spekulasi ada kaitan nak berikan tanda-tanda atau sedikit peringatan kepada ahli lain supaya patuh kepada arahan pemimpin.”
Surat penggantungan itu dikeluarkan semalam, selepas MKT Umno mengesahkan keputusan yang dibuat oleh lembaga disiplin parti pada 8 Mac.
Surat yang ditandatangani oleh setiausaha agung parti, Ahmad Maslan menyatakan penggantungan itu dibuat kerana Faisal melanggar tataetika sebagai ahli Umno.
Faisal berkata akan mengemukakan rayuan kepada MKT dalam masa dua hari lagi dan bukannya kepada lembaga disiplin Umno.
“Saya akan rayu bukan kepada lembaga disiplin tapi kepada MKT, kerana saya rasa MKT tidak dapat gambaran sebenar dan fakta sebenar kes ini.
“Bagi dua hari saya akan sediakan surat rayuan dan saya akan nyatakan bahwa MKT perlu meneliti hujah diberikan.
“Jangan bergantung kepada laporan lembaga disiplin sebab saya rasa waktu tribunal saya dapat pendengaran yang adil, cuma keputusan dan fakta-fakta saya diberikan tak dipertimbangkan dengan baik,” katanya.