- Iklan -
Berita

PAS komited pertahan penyatuan ummah, kata Tuan Ibrahim

PAS dianggap sebagai 'orang tengah' di antara Umno dan Bersatu selepas dua parti itu tidak lagi sehaluan dalam kerjasama politik mereka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tuan Ibrahim Tuan melambai tangan kepada petugas media. Gambar: Bernama
Tuan Ibrahim Tuan melambai tangan kepada petugas media. Gambar: Bernama

PAS menegaskan akan terus komited mempertahankan penyatuan ummah dan umat Islam di negara ini.

Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu dibuktikan dengan kehadiran PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2020 sebagai usaha berterusan memperkukuhkan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) sebagaimana yang disepakati sebelum ini.

“… ia demi keinginan melihat kesatuan Islam dalam negara,” katanya tambahnya selepas mendengar ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di perhimpunan itu hari ini.

Hadir sama pada perhimpunan itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Zahid dalam ucapan dasarnya sebelum itu berkata Umno sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemah piagam dan perjanjian persefahaman yang dimeterai Umno dan PAS pada September 2019.

Menurut Zahid, permuafakatan itu terbukti mendapat sokongan padu seperti yang dilihat dalam tujuh pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan diyakini akan membuka ruang kepada BN untuk kembali menerajui negara.

Sementara itu, Presiden MIC S.A. Vigneswaran ketika ditemui pemberita berkata PAS perlu membuat keputusan mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Umno tidak mahu bekerjasama dengan PN, justeru PAS perlu buat keputusan terlebih dahulu. Entah-entah mereka (PAS) tidak mahu bekerja dengan Umno,” katanya.

Mengulas mengenai BN bertanding secara solo pada PRU15, Vigneswaran berkata itu adalah satu keputusan yang tepat.

“Buat masa sekarang ini adalah hasrat Umno, kita akan bertanding atas tiket BN, yang dikatakan nak bekerjasama dengan sesiapa selepas pilhan raya itu, kita kena bincang,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata untuk memenangi PRU15, BN perlu bekerja keras berikutan senario semasa politik negara.

“Cabaran yang bakal kita hadapi bukan sesuatu yang membolehkan kita berkata dengan yakin ‘kami boleh lakukannya’, kita perlu bekerja keras selain mendapatkan sokongan semua bangsa kerana inilah yang perlu kita lakukan,” katanya.

Mengulas mengenai pendirian Umno untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu, Wee berkata perkara itu terpulang kepada Umno.

“Ini perhimpunan agung mereka dan mereka boleh bincang tentang apa sahaja. Jadi, biarlah mereka buat keputusan,” katanya.