- Iklan -
Berita

Pemuda PAS Selangor ingatkan Asyraf jangan biadab

Peringatan itu timbul susulan kenyataan Asyraf dalam ucapannya yang turut mengaitkan kisah perseteruan di antara golongan Khawarij dan Ali bin Abi Talib.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ashraf Wajdi berkata sesuatu semasa ucapan dasar sayap pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena PAU2020.
Ashraf Wajdi berkata sesuatu semasa ucapan dasar sayap pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena PAU2020.

Dalam kehangatan perwakilan Umno yang sedang bersidang, Pemuda PAS memberikan amaran kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki supaya jangan biadab terhadap pimpinan PAS yang hadir dalam perhimpunan agung parti itu.

Peringatan itu timbul susulan kenyataan Asyraf dalam ucapannya yang turut mengaitkan kisah perseteruan di antara golongan Khawarij dan Ali bin Abi Talib yang berlaku dalam sejarah Islam.

“Amaran kami usah biadab… Kami bersedia menghadapi kalian, serta sekali-kali tidak akan berdiam diri!

“Jangan poyo sangat rasa diri macam Saidina Ali bossku.” Kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dalam sebuah kenyataan.

Beliau turut berkata Pemuda PAS sedia menyambut cabaran jika Pemuda Umno membuka gelanggang di depan ketua mereka, Khairil Nizam Khiruddin, yang hadir dalam persidangan sayap Umno itu semalam.

“Bukan anak jantan jika bercakap seorang diri.

“Tak ubah bagai orang gila yang berasa jaguh sedangkan bersilat langkahnya sumbang,” katanya

Beliau turut mengingatkan pengkhianatan terhadap pakatan kerjasama Umno-PAS bermula sejak sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri timbul.

“Itukah nilai setiakawan? Jujur dan ikhlas? Demi survival ummah?” katanya.

Hari ini Umno menyambung persidangan tahunannya yang bermula semalam. Perhimpunan agung itu tertangguh tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Persidangan dua hari ini turut menjadi antara penentu hala tuju parti Melayu yang kini menghadapi dilema selepas pucuk pimpinannya dilihat tidak sefahaman dalam pertimbangan politik negara ketika ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.