- Iklan -
Berita

Perbahasan Umno ‘ditapis’ bagi selamatkan presiden

Veteran Umno Shahrir Samad mengakui wujud langkah untuk memastikan perwakilan mengikut jalur presiden.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa semalam yang mengatakan senarai pembahas serta teks ucapan sudah ditentukan dari awal oleh MKT Umno.
Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa semalam yang mengatakan senarai pembahas serta teks ucapan sudah ditentukan dari awal oleh MKT Umno.

MalaysiaNow difahamkan, ucapan-ucapan perwakilan yang menyokong Ahmad Zahid Hamidi bukan mencerminkan pendirian sebenar mereka dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 susulan kempen presiden parti Melayu itu untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Difahamkan beberapa langkah diambil bagi memastikan tidak ada pembahas dalam sidang perhimpunan itu melontarkan kritikan terhadap pimpinan parti.

Salah satu caranya adalah dengan memastikan pengerusi badan perhubungan Umno negeri tidak diberikan ruang bagi berbahas, bimbang sekiranya ramai dalam kalangan mereka tidak bersetuju dengan Zahid.

Pemimpin veteran Umno yang juga Ketua Bahagian Johor Bahru Shahrir Samad mengakui tentang percaturan ini.

“Sebenarnya memang ada perbincangan idea pengerusi perhubungan untuk berucap. Jadi ianya bukan satu perkara luar biasa dan kalau katakan nak cakap pasal keadaan di negeri siapa yang layak yang hendak bercakap, sudah tentulah pengerusi negeri,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui semalam.

Namun, situasi sekarang ini membenarkan beberapa perkara berubah dalam parti itu.

“Namun keadaan hari ini sudah agak berbeza daripada dulu,” kata Shahrir bekas ahli Parlimen Johor Bahru selama beberapa penggal sebelum dikalahkan pada 2018.

Temubual Ketua Umno Johor Bahru, Shahrir Samad di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Menurutnya, kekuatan Umno berada pada peringkat akar umbi yang dipimpin pengerusi negeri.

“Memandangkan setiap negeri mempunyai pandangan berbeza-beza ia akan menyebabkan perwakilan percaya.

“Jadi saya lihat bila kita beri kepada ketua perhubungan untuk berucap ia boleh membawa atau memberikan gambaran sebenar kepada kekuatan yang berbeza di antara negeri-negeri.”

Kenyataan Shahrir ini mengesahkan dakwaan Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa semalam yang mengatakan senarai pembahas serta teks ucapan sudah ditentukan dari awal oleh majlis kerja tertinggi (MKT).

“Jurucakap yang dipilih sudah digantikan. Hanya orang yang dilantik presiden (Zahid) boleh bercakap,” kata Annuar yang dilihat mengkritik Zahid susulan rancangan presiden Umno itu yang mahu bekerjasama dengan PKR.

Setakat ini, Umno Perlis dan Sabah sudah menyatakan pendirian berbeza dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Dalam sebuah temu bual Talk, Now, sebuah program bual bicara MalaysiaNow, Shahidan Kassim berkata Umno Perlis sedia memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka tetap meneruskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada perhimpunan agung parti itu.

Zahid dan bekas presiden Najib Razak merupakan pimpinan Umno yang kini mengepalai serangan terhadap kerajaan PN.

Menurut mereka, parti serpihan Umno, Bersatu yang diketuai Muhyiddin mengabaikan Umno dalam kedudukan kerajaan PN yang dibentuk walaupun parti itu telah memberikan sokongan kepadanya.

Semalam, Shahidan menyangkal dakwaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan kononnya kedudukan parti itu “sangat terpencil dan tidak dominan” dalam kerajaan PN.

“Itu pandangan daripada timbalan presiden, tapi kedudukan sekarang adalah Umno ada sembilan menteri, hampir 20 timbalan menteri – lebih besar daripada Bersatu, lebih besar daripada PAS, lebih besar daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“PAS ada tiga (menteri), GPS ada tiga, Bersatu ada lapan, BN (termasuk Umno) ada 11,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.