- Iklan -
Berita

Terlanjur kongsi denda palsu di Facebook, ‘Uncle Kentang’ mohon maaf

Kuan Chee Heng mohon maaf kepada polis melalui sepucuk surat pada 22 Mac lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang banyak membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui organisasinya. Gambar: Facebook
Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang banyak membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui organisasinya. Gambar: Facebook

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang sebelum ini bertindak memuat naik status di laman Facebooknya mengenai kompaun RM10,000 yang diterima pihak ketiga, walhal perkara itu tidak berlaku telah memohon maaf kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh A. Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima permohonan maaf Chee Heng yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, melalui sepucuk surat pada 22 Mac lepas.

“Beliau (uncle kentang) menjelaskan menerima maklumat daripada ibu kepada individu yang mendakwa dirinya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan berharap pihaknya dapat membantu namun hasil siasatan mendapati ia tidak benar.

“Individu berkenaan hanya cuba menipu ibunya dengan mengatakan dikenakan kompaun sebagai alasan untuk tidak mengirim wang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Status yang dimuat naik Uncle Kentang menerusi Facebook ‘Kuan Chee Heng’ pada 14 Mac lepas itu turut dikongsikan laman sosial Facebook bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat perhatian ramai.

Dalam status tersebut, Chee Heng memuat naik kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan di Kampung Rapat pada 14 Mac lepas.

Maklumat dalam status itu mendakwa seorang pembantu tukang masak dikenakan kompaun RM10,000 semasa keluar menerusi pintu belakang restoran berkenaan untuk menghisap rokok, dan dia tidak dapat mengirimkan wang kepada ibunya berikutan terpaksa berhutang dengan pihak restoran bagi membayar kompaun berkenaan selain gajinya turut dipotong untuk membayar hutang.

A. Asmadi menjelaskan siasatan oleh pihaknya juga mendapati tiada kompaun seperti didakwa telah dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB dalam kalangan polis daerah Ipoh.

Justeru, katanya orang ramai diminta supaya tidak terus menularkan isu berkenaan kerana ia akan menjejaskan imej dan iltizam pasukan polis untuk memberi perkhidmatan terbaik.