- Iklan -
Berita

Perdagangan Malaysia terus meningkat pada Mac, kata firma AS

Moody's Analytics berkata prestasi perdagangan luar biasa Malaysia dengan rakan dagang utama yang dicatatkan pada Februari menunjukkan pemulihan optimis di masa hadapan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jumlah eksport Malaysia mencatat pertumbuhan dua digit 11.7% kepada RM177.19 bilion sejak awal 2021.
Jumlah eksport Malaysia mencatat pertumbuhan dua digit 11.7% kepada RM177.19 bilion sejak awal 2021.

Prestasi perdagangan Malaysia akan meneruskan momentum peningkatannya pada bulan Mac 2021, sementara import pula dijangka terus mengukuh dengan kembalinya permintaan domestik selepas berakhirnya perintah kawalan pergerakan awal bulan ini, kata Moody’s Analytics.

Menurut firma Amerika Syarikat itu, prestasi perdagangan luar biasa dengan rakan dagang utamanya yang dicatatkan pada Februari 2021 menunjukkan pemulihan yang lebih optimis di masa hadapan.

“Eksport ke kebanyakan pasaran utama meningkat, iaitu Asean dan China sementara perdagangan AS dengan Asean, yang menguasai 26% daripada jumlah perdagangan Malaysia, mengukuh 13.2% tahun ke tahun pada Februari.

“Ini jelas sekali kerana kerana pertumbuhan dua digit bukan disebabkan oleh kesan asas yang rendah dari tahun lepas,” katanya dalam satu nota hari ini sambil menambah perdagangan dengan China melonjak hampir 50% tahun ke tahun, mewakili 18.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Moody’s Analytics berkata demikian bagi mengulas perangkaan perdagangan Malaysia yang dikeluarkan semalam yang menunjukkan bahawa eksport meningkat 17.6% kepada RM87.57 bilion manakala import mengembang 12.7% kepada RM69.7 bilion, sekali gus menyaksikan lebihan dagangan melonjak 41.6% kepada RM17.86 bilion pada Februari 2021.

Menjelaskan pertumbuhan positif ini, ia berkata pengembangan eksport dan import yang kukuh adalah isyarat pemulihan ekonomi Malaysia semakin pesat.

“Sejak awal tahun ini, eksport Malaysia mencatat pertumbuhan dua digit 11.7% kepada RM177.19 bilion berbanding dalam tempoh yang sama pada 2020, dirangsang terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi untuk semikonduktor dalam industri peranti pintar dan automotif memandangkan aktiviti ekonomi global terus pulih,” katanya.

Dalam pada itu, ia berkata lonjakan import turut menunjukkan permintaan domestik yang kian mengukuh untuk barangan penggunaan dan pelaburan.

“Import barang modal dan penggunaan meningkat terutamanya disebabkan oleh peningkatan permintaan untuk barang tahan lama serta mesin dan peralatan mekanikal untuk menyokong pembuatan produk elektrik dan elektronik untuk eksport,” katanya.

Moody’s Analytics turut menambah bahawa barang perantaraan yang menurun sedikit sebanyak 0.2% tahun ke tahun menunjukkan langkah-langkah sekatan pada masa ini tidak memberi banyak tekanan kepada pengeluaran domestik berbanding sekatan awal pada Mac 2020.