- Iklan -
Berita

Aktivis OKU dakwa JKM panggil polis ‘takutkan’ mereka

Mereka hadir di pejabat JKM untuk bertanya mengenai kes Elaun Pekerja Cacat (EPC) seorang lelaki yang didakwa telah dibatalkan tanpa siasatan yang tepat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis Independent Living & Training Centre Malaysia berada di pejabat JKM bagi membantu salah seorang aktivisnya. Gambar: Facebook
Aktivis Independent Living & Training Centre Malaysia berada di pejabat JKM bagi membantu salah seorang aktivisnya. Gambar: Facebook

Sekumpulan aktivis orang kurang upaya (OKU) mendakwa Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memanggil polis bagi menakut-nakutkan mereka ketika di pejabat JKM untuk bertanya mengenai kes Elaun Pekerja Cacat (EPC) seorang lelaki yang didakwa telah dibatalkan tanpa siasatan yang tepat.

Para aktivis dari Independent Living & Training Center (ILTC) Malaysia berkata bahawa mereka melakukan perjalanan dari Rawang ke Kuala Lumpur semalam bagi membantu Kumar Nadeson, seorang lelaki kurang upaya yang dikatakan terjejas sepanjang wabak Covid-19 tanpa pendapatan.

“Kami semua pergi ke sana untuk bantu dia mendapatkan bantuan kewangan bulanan JKM elaun EPC.

“Mereka melayan kami dengan teruk dan bahkan panggil polis untuk menakut-nakutkan kami. Kami bertengkar dengan pegawai JKM di kaunter penerimaan tetamu,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Dalam sebuah rakaman video, beberapa orang aktvis orang kurang upaya dilihat sedang bertengkar dengan beberapa pegawai polis.

Seorang aktivis juga dilihat berteriak kepada seorang pegawai JKM ketika diminta dengan sopan untuk meninggalkan premis tersebut.

“Kami ingin tanya menteri Rina Harun untuk jelaskan kepada kami bagaimana cara untuk bantu isu serius ini, sehingga kami dilayan secara buruk, kami sangat kecewa mengapa mereka panggil polis,” tambahnya.

MalaysiaNow sedang meminta respons daripada menteri dan juga pegawai JKM.

Ketika dihubungi, presiden ILTC Francis Siva berkata elaun Kumar dibatalkan kerana dia belum memperbaharui permohonan menggunakan borang baru yang dikenali “Borang Kaji Semula JKM”.

“Pembayaran terakhir adalah pada Januari 2020. Setelah itu, belum ada pembayaran yang dilakukan hingga sekarang.

“Dia telah habiskan RM5,000 setakat ini. Dia hantar borang lain pada bulan November, namun tak ada tindakan juga,” katanya.

Francis juga berkata bahawa elaun itu dibatalkan tanpa pemeriksaan yang sewajarnya, selain proses permohonan baru yang menyukarkan OKU kerana sebilangan besar mereka buta huruf dan tidak tahu cara mengisi borang.

“Mereka tidak faham penderitaan orang OKU,” katanya.

“Mereka tak boleh datang ke pejabat. Pengangkutan awam tidak selesa. ”

Francis menambah bahawa dia dan beberapa orang aktivis lain telah berusaha untuk menghubungi menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat bagi mengetengahkan masalah ini dan mendesak supaya kerajaan memudahkan proses permohonan elaun.

Dia juga berkata bahawa permohonan Kumar telah diluluskan dan elaun satu bulan telah diberikan selepas kejadian di jabatan itu.