- Iklan -
Berita

Terlalu awal tamatkan SOP bagi penerima vaksin penuh, kata pakar

Pakar kesihatan mengesyorkan SOP ditamatkan selepas negara capai imuniti kelompok.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Pakar menasihatkan SOP harus terus dipatuhi sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.
Pakar menasihatkan SOP harus terus dipatuhi sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Pakar kesihatan berkata mereka yang menerima vaksin Covid-19 masih perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal walaupun agensi kesihatan Amerika Syarikat (AS) mencadangkan kelonggaran diberikan bagi mereka yang selesai menerima dos vaksinasi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar berkata SOP kesihatan harus terus dilaksanakan sekurang-kurangnya sehingga negara mencapai tahap imuniti kelompok – satu sasaran yang dijangka dapat dicapai selepas program inokulasi 80% penduduk Malaysia pada Februari 2022.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh berkata masih terlalu awal untuk mempertimbangkan kelonggaran SOP hanya dengan alasan barisan hadapan sudah diberi vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau menambah sebarang cadangan untuk melonggarkan SOP kesihatan harus dibincangkan selepas peratusan penduduk yang divaksin mencapai angka lebih besar.

Pada Isnin Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras PICK berkata kira-kira 90% daripada 500,000 anggota barisan hadapan dalam senarai Fasa 1 PICK menerima suntikan dos pertama mereka.

Beliau turut menambah barisan hadapan dalam senarai sasaran Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan selesai menerima dos pertama vaksin pada pertengahan April, dan Fasa 2 PICK yang menyasarkan warga emas dan yang memiliki risiko tinggi akan mula dilaksanakan pada 19 April.

Kerajaan turut menyasarkan sembilan juta penerima pada fasa kedua. Setakat Ahad lalu, sekitar dua juta daripada kumpulan sasaran mendaftar untuk divaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Awal bulan ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) berkata mereka yang menerima vaksin penuh Covid-19 akan dibenarkan berkumpul di dalam bangunan tanpa perlu memakai pelitup muka.

Badan itu juga berkata mereka yang divaksin penuh boleh mengunjungi orang yang belum mendapat vaksin tanpa perlu memakai pelitup muka atau menjaga jarak fizikal selagi mereka yang belum divaksin tidak berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

CDC turut menambah orang yang diberi vaksin penuh dan kemudian menemui kontak rapat atau penghidap Covid-19 tidak perlu menjalani ujian swab atau kuarantin kecuali jika mereka menunjukkan gejala virus.

Bagaimanapun, Kuljit memberitahu MalaysiaNow bahawa peraturan tersebut berbeza di setiap negara.

“Dinamik bagi setiap penduduk dan setiap negara mungkin berbeza.

“Itu bergantung pada negara dan jumlah orang yang divaksin di negara tersebut.

“Namun di Malaysia, kita masih jauh dari tahap itu,” kata Kuljit.

Setakat 28 Mac, seramai 129,110 orang menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19 sementara 451,655 lagi menerima dos pertama.

Kuljit turut menambah, jenis vaksin diberikan juga harus dipertimbangkan kerana ada vaksin yang mempunyai kadar keberkesanan lebih tinggi daripada vaksin lain.

“Kita belum pasti sejauh mana keberkesanan vaksin dalam populasi. Kelonggaran SOP adalah satu hal yang hanya boleh dipertimbangkan setelah Malaysia mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dan menambah hal ini mungkin bergantung kepada bagaimana virus bertindak balas terhadap vaksin yang diterima setakat ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata data antarabangsa jelas menunjukkan risiko dijangkiti dan penularan penyakit sudah kurang selepas seseorang menerima vaksin.

Beliau secara umumnya bersetuju dengan saranan CDC supaya mereka yang menerima vaksin penuh boleh dilonggarkan untuk tidak memakai pelitup muka.

Namun beliau berkata masalah yang dihadapi Malaysia terletak pada keadaan setempat.

“Setakat ini, masih terlalu sedikit orang yang menerima vaksin,” katanya.

Justeru, katanya, demi tidak menimbulkan kegelisahan atau kebimbangan, mereka yang menerima vaksin perlu terus mengamalkan SOP sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan mula melonggarkan sekatan perjalanan dan syarat kuarantin bagi mereka yang menerima vaksin penuh.

Ia bertujuan mendorong orang lain tampil menerima suntikan vaksin dalam program imunisasi kebangsaan yang dijalankan kerajaan.