- Iklan -
Berita

Suu Kyi hadir dengar sebutan kes di mahkamah

Wakil PBB Christine Schraner Burgener turut desak Majlis Keselamatan PBB ambil tindakan cegah perang saudara.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Aung San Suu Kyi, 75, tidak lagi dilihat di khalayak umum sejak beliau dijatuhkan pada Februari lalu. Gambar: AFP
Aung San Suu Kyi, 75, tidak lagi dilihat di khalayak umum sejak beliau dijatuhkan pada Februari lalu. Gambar: AFP

Pemimpin Myanmar yang dijatuhkan Aung San Suu Kyi hari ini hadir ke mahkamah bagi sesi pendengaran kes selepas wakil PBB berkata negara itu berdepan risiko perang saudara apabila junta tentera menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang mahu demokrasi dikembalikan.

Lebih dari 535 orang dilaporkan meninggal dunia dalam tunjuk perasaan sejak tentera menjatuhkan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, menyebabkan demokrasi Myanmar terjejas selepas ia diusahakan sejak sedekad lalu.

Majlis Keselamatan PBB telah mengadakan mesyuarat berhubung krisis di Myanmar pada Rabu.

Wakil PBB di negara itu Christine Schraner Burgener turut mendesak majlis tersebut melaksanakan tindakan bagi mencegah perang saudara berlaku di Myanmar.

“Saya rayu Majlis Keselamatan PBB untuk melakukan semua yang boleh bagi bertindak secara kolektif dan lakukan perkara yang betul dan kembalikan hak rakyat Myanmar sambil mengelak dari kehancuran,” kata wakil khas PBB Christine Schraner Burgener.

Beliau berkata pihaknya masih terbuka untuk berunding dengan junta namun, “jika kami terus menunggu sehingga mereka sedia nak berunding.

“Apa yang berlaku di lapangan akan semakin buruk. Dan pertumpahan darah tak boleh dielak lagi.” katanya.

Mesyuarat tergempar PBB itu diadakan sebelum sesi mahkamah Suu Kyi hari ini – Suu Kyi berdepan beberapa pertuduhan jenayah yang jika disabitkan kesalahan mungkin menyaksikan karier politik beliau berakhir.

Pasukan peguamnya berbincang dengan tokoh wanita itu pada Rabu menggunakan video di balai polis.

Suu Kyi, 75, tidak lagi dilihat di khalayak umum sejak beliau dijatuhkan pada Februari lalu.

Bagaimanapun, peguamnya berkata Suu Kyi berada dalam keadaan sihat.

Pendengaran pada Khamis dijangka dilaksanakan secara ringkas kerana ia hanya menjelaskan beberapa aspek pengurusan kes tersebut.

Junta turut menyiasat penerima anugerah Nobel itu berkait tuduhan beliau menerima bayaran dalam bentuk emas dan wang tunai berjumlah AS$1 juta.

Khin Maung Zaw, salah seorang peguam Suu Kyi berkata kesemua siasatan tersebut belum lagi secara formal dibawa ke mahkamah setakat ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.