Menurut kumpulan Save The Children, sekurang-kurangnya 43 kanak-kanak dibunuh junta tentera Myanmar sejak kudeta tentera pada Februari lalu dan mangsa paling muda berusia tujuh tahun.
Menurut NGO itu, kejadian yang berlaku di Myanmar ketika ini adalah “sebuah mimpi yang dahsyat.”
Kumpulan pemantau tempatan berkata jumlah kematian setakat ini adalah sebanyak 536 dan wakil tentera PBB turut mengingatkan risiko perang saudara dan pertumpahan darah yang dahsyat boleh berlaku jika keadaan ini berterusan.
Menurut laporan BBC, amaran dari PBB itu susulan pertempuran baru di antara junta dengan etnik minoriti di kawasan sempadan Thailand dan India.
Konflik bersenjata antara etnik Karen dan kerajaan Myanmar yang tercetus sejak 1949, selepas Myanmar memperoleh kemerdekaan dari United Kingdom, dan sudah berlarutan selama lebih 50 tahun.
Mencari hak autonomi dan budaya, KNU terbabit dalam perang saudara dan siri pemberontakan etnik menentang kerajaan.
Dalam laporan BBC, keluarga kanak-kanak berumur tujuh tahun, Khin Myo Chit berkata dia dibunuh polis semasa sedang melarikan diri ketika serbuan di rumah mereka di Mandalay.
“Mereka tendang pintu,” kata May Thu Sumaya, 25.
“Ketika pintu sudah terbuka, mereka tanya ayah saya ada orang lain lagi di dalam rumah.”
Ketika dia jawab tidak ada, mereka menuduh dia menipu dan mula selongkar rumah.
Ketika itulah khin Myo Chit lari ke arah bapanya.
“Waktu itulah, polis tembak dia,” kata Thu Sumaya.
Selain itu, kanak-kanak berumur 14 tahun turut dilaporkan terbunuh berdekatan rumahnya di Mandalay, sementara seorang kanak-kanak 13 tahun ditembak di Yangon ketika bermain.
Kumpulan Save The Children turut memberi amaran keganasan yang berlaku ketika ini akan memberi kesan terhadap kesihatan mental kanak-kanak.
“Kanak-kanak telah saksikan sendiri keganasan dan kekerasan,”
“Jelas Myanmar sudah tidak lagi selamat untuk kanak-kanak.” katanya lagi.