- Iklan -
Berita

Restoran mi kolok Haji Salleh dikunjung perdana menteri

Restoran mi kolok Haji Salleh dikunjungi perdana menteri pada hari kedua lawatan beliau ke Kuching, Sarawak.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Muhyiddin Yassin disertai pemimpin Sarawak lain menikmati sajian mi kolok di Resoran Sepinang Sari di Kuching, Sarawak.
Muhyiddin Yassin disertai pemimpin Sarawak lain menikmati sajian mi kolok di Resoran Sepinang Sari di Kuching, Sarawak.

Mi sapi atau mi kolok Haji Salleh, menjadi sajian pilihan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika kunjungan beliau ke Restoran Sepinang Sari selepas tular sebelum ini kerana disebut dalam salah satu ucapan perdana menteri mengenai pakej Prihatin ketika awal pandemik Covid-19 di negara kita.

Perdana menteri turut disertai Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan pemimpin negeri lain dalam lawatan tersebut.

Muhyiddin dan pemimpin Sarawak berkunjung ke restoran itu dalam lawatan hari kedua perdana menteri di Kuching, Sarawak bagi menjamu selera seawal pukul 7.30 pagi tadi.

Kehadiran pemimpin nombor satu negara itu turut disambut pemilik restoran sendiri, Salleh Reduan.

Bagi Salleh, kehadiran Muhyiddin ke restorannya adalah antara saat yang paling menggembirakan kerana perdana menteri sanggup meluangkan masanya untuk mengunjungi perniagaan mi kolok yang diusahakan lebih dari 20 tahun lalu.

Restoran Sepinang Sari dikunjungi Muhyiddin Yassin dan pemimpin Sarawak.

Ketika ditanya mengenai rasa hidangan yang dinikmati beliau, Muhyiddin dengan gembira berkata, “(Mi kolok) ini sangat sedap.”

Muhyiddin turut menandatangani sebuah papan tanda untuk merekodkan lawatan beliau di sana.

Mi kolok Haji Salleh pernah disebut Muhyiddin dalam sebuah ucapan yang menjelaskan inisiatif kerajaan berhubung pakej Prihatin bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun lalu.

Restoran Sepinang Sari, yang kini dikendalikan anak perempuan Salleh, Faridah Salleh, turut disenaraikan sebagai restoran yang wajib dikunjungi oleh pencinta makanan tempatan di platform media sosial.