- Iklan -
Berita

Cabaran memanjat tangga karier buat graduan baru

Ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19, pakar tidak melihat wujud penyelesaian segera bagi graduan baru nikmati gaji yang mereka idamkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pengangguran dalam kalangan siswazah di Malaysia adalah antara masalah yang perlu diambil perhatian kerajaan.
Pengangguran dalam kalangan siswazah di Malaysia adalah antara masalah yang perlu diambil perhatian kerajaan.

Rasyidah Zulkifli mula mencari kerja sebaik sahaja menamatkan pengajiannya pada bulan Januari.

Dia menghantar lebih dari 150 permohonan melalui pelbagai platform dalam talian.

Akhirnya, Rasyidah menerima empat panggilan temu duga.

Dari empat panggilan, dua menawarkan kerja berkemahiran rendah yang tidak memerlukan ijazah.

“Saya ditawarkan RM1,200 untuk kedua-dua kekosongan kerja itu. Saya tolak kerana ingin cari peluang lebih baik, dan saya fikir gajinya pun terlalu rendah,” katanya.

Nasib Rasyidah bertambah baik dalam temu duga ketiga. Dia meminta gaji sebanyak RM2,000 dan menerima tawaran kurang sedikit daripada jumlah tersebut.

“Saya fikir tawaran ini lebih baik dari dua yang sebelumnya, jadi saya terima. Walaupun begitu, saya rasa gaji saya masih rendah kalau ikut kadar pasaran.”

Realitinya, keadaan tersebut mungkin boleh jadi lebih teruk.

Sekurang-kurangnya pekerjaan yang diterima itu masih berkaitan dengan bidang pengajiannya.

Begitulah pengalaman Rasyidah, salah satu dari jutaan kisah graduan baru seluruh negara yang masih sukar mencari pekerjaan bagi menampung keperluan asas hidup mereka.

Pada bulan Januari tahun ini, statistik kerajaan menunjukkan kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1% dari bulan sebelumnya kepada 4.9% menjadikan jumlah keseluruhan kepada 782,500 dari 772,900 pada Disember.

Menurut laporan tahunan Bank Negara Malaysia pada 2018, gaji permulaan sebenar bagi kebanyakan graduan menurun sejak 2010.

Penurunan itu terus berlaku walaupun mengambil kira inflasi dalam negara.

“Lulusan baru dengan diploma memperoleh gaji hanya RM1,376 pada tahun 2018 (2010: RM1,458) sementara pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji sebenar sebanyak RM2,707, penurunan ketara dari RM2,923 pada tahun 2010,” kata laporan itu.

Rasyidah berkata, dia mengharapkan gaji sebanyak RM2,500 sebagai graduan baru dalam bidang pengajiannya.

Namun dengan tawaran gaji yang kurang dari itu, dia menganggap hal itu sebagai permulaan untuk sesuatu yang lebih baik.

Buat masa ini, gaji yang diterima Rasyidah dapat menanggung kos sara hidupnya walaupun baki gajinya terlalu sedikit untuk simpanan atau kecemasan.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia Mohamad Fazli Sabri berkata gaji minimum yang ditetapkan sebanyak RM1,200 ketika ini adalah sangat rendah.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata dengan tawaran jumlah gaji tersebut kepada graduan baru, terutama mereka yang tinggal di bandar, boleh menjadikan mereka dikategorikan sebagai “miskin tegar”.

“Kedua-dua pihak (majikan dan graduan) perlu win-win situation,” katanya.

“Graduan baru perlu ingat mereka tidak mempunyai pengalaman dan majikan tidak boleh bagi gaji lebih rendah daripada yang sepatutnya.”

Fazli turut membangkitkan jabatan perangkaan mengubah Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM980 kepada RM2,280 tahun lalu.

Beliau mencadangkan agar angka itu digunakan sebagai penanda aras dalam menentukan gaji, sekurang-kurangnya bagi mereka yang mempunyai kelayakan.

Walaupun ramai siswazah baru berusaha untuk mencari pekerjaan yang membayar mereka secara berpatutan.

Namun harus disedari bukan hanya mereka seorang sedang mencari pekerjaan yang sama.

Menurut laporan Bank Negara, pekerja Malaysia pada umumnya dibayar lebih rendah daripada rakan sejawat mereka di negara-negara seperti Singapura dan Korea Selatan.

“Untuk menggambarkan perkara ini, jika seorang pekerja Malaysia menghasilkan output bernilai AS$1,000, pekerja itu akan dibayar AS$340.

“Gaji sepadan yang diterima seorang pekerja dalam penanda aras ekonomi bagi penghasilan output yang sama bernilai AS$1,000, bagaimanapun lebih tinggi dengan nilai AS$510.80,” kata laporan itu.

Laporan BNM itu turut menjelaskan hal ini lebih ketara dalam sektor borong, runcit, makanan dan minuman, serta penginapan atau perhotelan – industri intensif buruh bergantung pada pekerja berkemahiran rendah.

Ini juga menjadi punca perbezaan gaji dengan daya tawar menawar pekerja yang rendah akibat keberadaan pekerja asing dalam pasaran.

Bagi ahli ekonomi Barjoyai Bardai, beliau berkata masih ada harapan walaupun mengakui penyelesaian segera kepada masalah tersebut masih belum ditemui.

“Industri mempunyai prinsip sendiri, pekerja dibayar berdasarkan produktiviti.

“Majikan sering mengadu bahawa produktiviti graduan hari ini menurun, bukan kerana kurang pengetahuan tetapi kerana mereka masuk industri tanpa kemahiran insaniah (soft skills).

“Dua puluh tahun lalu, majikan tidak sangka graduan mempunyai ‘anticipative skills’ namun hari ini, ia adalah keperluan walaupun ramai graduan tidak memilikinya.”

Barjoyai turut memberitahu MalaysiaNow bahawa wujud keperluan untuk perubahan struktur dari semua pihak.

“Kita tidak boleh paksa majikan naikkan gaji, mereka mempunyai strategi sendiri dalam perniagaan. Tetapi apa yang dapat kita lakukan adalah meningkatkan kemampuan mereka yang sudah bergabung dalam sebuah pasukan kerja.

“Sekiranya graduan merasakan kemahiran yang mereka ada sudah mencukupi, mereka akhirnya akan melompat dari satu syarikat ke syarikat yang lain. Dan itu tidak akan menyelesaikan apa-apa.”