- Iklan -
Berita

Muhyiddin adakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei

Lawatan singkat dari 4 hingga 5 April itu juga sebagai memenuhi jemputan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam bermula Ahad sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei.

Lawatan singkat dari 4 hingga 5 April itu juga sebagai memenuhi jemputan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini, pertemuan Muhyiddin dengan Sultan Brunei itu adalah yang pertama di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan.

Sempena lawatan itu, perdana menteri akan mengadakan mesyuarat dengan Sultan Hassanal, diikuti majlis santapan rasmi yang dihoskan Sultan Brunei.

Menurut Wisma Putra, rundingan itu merupakan platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin juga akan mengambil kesempatan untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pasca Covid-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Turut bakal dibincangkan mengenai cadangan pengwujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas, cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin dan pengukuhan kerjasama ekonomi.

Satu kenyataan bersama dijangka dikeluarkan di akhir rundingan itu.

Semasa rundingan itu juga, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemuktamadan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pengurusan Bencana dan pemeteraian perjanjian Unitisation Agreement antara Petronas dan Brunei National Unitisation Secretariat (BNUS) dalam sektor minyak dan gas.

Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 diadakan di Putrajaya pada 5 Mac 2019.

Memandangkan pandemik Covid-19 masih melanda khususnya di Malaysia dan Brunei Darussalam, Wisma Putra berkata Muhyiddin meminta supaya tempoh lawatan rasmi ini diadakan kurang dari 24 jam.

Selain itu, bagi meminimumkan risiko jangkitan Covid-19, Perdana Menteri hanya akan diiringi isteri, Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein serta pegawai kanan kerajaan.

Selain jumlah delegasi yang kecil, lawatan itu juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mana dipersetujui kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan majlis keselamatan negara (MKN) serta kementerian kesihatan Brunei Darussalam.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.