- Iklan -
Berita

Kerajaan masih teliti data benar penerima lengkap vaksin rentas negeri

Kerajaan masih meneliti penemuan-penemuan dari Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perjalanan rentas negeri mungkin akan dibenarkan bagi penerima lengkap vaksin. Gambar: Bernama
Perjalanan rentas negeri mungkin akan dibenarkan bagi penerima lengkap vaksin. Gambar: Bernama

Kerajaan masih meneliti data yang relevan sebelum membuat sebarang keputusan membenarkan perjalanan rentas negeri bagi mereka yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kementeriannya mengambil maklum cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pihaknya masih meneliti penemuan-penemuan dari Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kami akan mendapatkan data dari CDC dan WHO bagi memastikan cadangan perdana menteri tersebut dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Namun, beliau berkata bahawa majoriti mereka yang menerima vaksin pada fasa pertama adalah barisan hadapan yang kini sudah dibenarkan merentas sempadan negeri bagi tujuan kerja.

1 April lalu, Muhyiddin memberikan cadangan tersebut namun menyerahkan sebarang keputusan kepada Majlis Keselamatan Nasional.

Beliau turut berkata kerajaan telah memulakan rundingan dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat Malaysia yang telah divaksin melakukan perjalanan ke sana.