- Iklan -
Berita

Hakim Mahkamah Rayuan minta peguam Najib guna perkataan sopan, hormati hakim

Shafee dilihat tidak menggunakan perkataan yang lebih wajar terhadap hakim di mahkamah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Shafee dan Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan mahkamah. Gambar: Bernama
Muhammad Shafee dan Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan mahkamah. Gambar: Bernama

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil menasihati peguam Muhammad Shafee Abdullah supaya menggunakan kata-kata sopan semasa menggambarkan hakim yang mensabitkan anak guamnya, Najib Razak terhadap tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Dana Bhd.

Karim, yang mengetuai panel tiga hakim memberitahu Shafee bahawa beliau boleh menggunakan ungkapan seperti “terkhilaf dari segi undang-undang” dan “tersalah arah” untuk menunjukkan kelemahan dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Saya rasa jika kita boleh menggunakan kata-kata yang lebih baik dengan menghormati hakim yang bijaksana … cari kata sifat yang lebih baik untuk menggambarkannya. Selain daripada mengatakan “meracuni penilaiannya”, “ sangat tidak cekap”, boleh anda cari perkatan lain? Hormatilah hakim.

“Guna kata-kata seperti terkhilaf, beliau telah melakukan kesilapan, telah salah arah, bukan dengan mengatakan sangat tidak cekap,” kata Karim, yang mendengar rayuan Najib itu bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Muhammad Shafee: Bolehkah saya katakan bahawa hakim bijaksana itu telah menunjukkan ketidakcekapan.

Abdul Karim: Ya.

Sebelum itu, Shafee dalam hujahnya pada prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC itu, berkata hakim yang mendengar kes itu tidak berwibawa ketika membuat keputusan terhadap anak guamnya.

“Bolehkah kita katakan dengan penuh rasa hormat, bahawa hakim yang bijaksana itu sama sekali tidak cekap dalam kes ini, dan satu-satunya penjelasan yang dapat saya buat mengenai bagaimana kesilapan seperti ini boleh berlaku. Itu membawa kepada sama ada kami telah mendapat perbicaraan yang adil dalam kes ini.

“Sekarang, saya ingin menambah satu lagi alasan iaitu dengan memasukkan apa yang tidak seharusnya ada dalam alasan penghakiman dan rekod prosiding, memandangkan dalam penemuan prima facie ada unsur yang sebelumnya tidak ada tetapi seperti telah ada. Apakah hakim telah meracuni alasan penghakimannya?

“Adakah racun berlaku dalam alasan penghakimannya bahawa Yang Arif (mahkamah ini) perlu melihat kembali alasan-alasan yang baharu, kita semua. Itu satu lagi persoalan yang ingin saya ajukan,” kata peguam itu.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu, setelah mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Prosiding rayuan bersambung.