Sebelas orang model bogel dan jurugambar warganegara Rusia dilaporkan ditahan susulan sesi bergambar bogel di balkoni Jumeirah Lake Towers, daerah Marina, Dubai, lapor New York Post.
Sesi bergambar yang diadakan di waktu tengahari itu menjadi tular selepas gambar tidak senonoh sesi itu diterbitkan di media sosial.
Sebahagian model itu dikenali sebagai bintang media sosial yang terkenal dengan gaya mengghairahkan separuh telanjang.
Laporan yang belum dapat disahkan turut berkata “bintang-bintang” itu kebanyakannya berasal dari Rusia, Moldova, Ukraine and Belarus.
Video yang memaparkan mereka sedang bergaya bogel di balkoni itu juga turut tular di internet sehingga menarik perhatian polis tempatan.
Antara pertuduhan yang mungkin dihadapi kumpulan itu adalah menganggu ketenteraman awam selain melanggar undang-undang kesopanan di negara tersebut.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan denda sekurang-kurangnya AS$1,500.
Konsulat Ukraine turut mengesahkan kepada BBC bahawa 11 dari warganegaranya telah ditahan selepas sesi bergambar di balkoni tersebut.
Konsulat negara itu menambaha bahawa pihaknya akan melawat para tahanan.
Dalam laporan the Sun, seorang jurugambar Rusia yang menganjurkan sesi bergambar itu juga turut ditahan.
Pada pagi Isnin, agensi berita Moscow, RIA Novosti, memetik satu sumber berkata, “Mereka sedang dapatkan rayuan daripada pengarah konsulat, tapi sukar nak buat apa-apa ketika ini. Peruntukan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka serius, melibatkan perlakuan tidak senonoh.”
Sumber tersebut turut mencadangkan model-model yang menyertai sesi bergambar itu dimaafkan tanda belas kasihan sempena bulan suci umat Islam, Ramadan, yang bakal tiba.
Kebanyakan undang-undang di UAE adalah berdasarkan undang-undang syariah, ramai yang dipenjarakan sebelum ini akibat berbogel di khalayak ramai atau melakukan perkara yang tidak senonoh.
Polis Dubai turut mengingatkan sesiapa yang menerbitkan bahan pornografi atau bahan-bahan yang “boleh menyebabkan prejudis terhadap moral awam” boleh berdepan hukuman penjara dan denda.
“Perlakuan yang tidak boleh diterima ini tidak mencerminkan nilai dan budaya masyarakat Emiriah,” kata polis dalam sebuah kenyataan.
Mereka yang tinggal atau melawat UAE berada di bawah peruntukan undang-undang UAE.
Tidak ada pengecualian terhadap pelancong, malahan beberapa kes berprofil tinggi kenamaan Barat telah ditahan ketika bercuti di Dubai.
Pada 2017, seorang wanita Britain telah dijatuhkan hukuman setahun penjara kerana melakukan hubungan seks secara sukarela dengan seorang lelaki yang bukan suaminya.
Hubungan itu kemudiannya didedahkan ketika dia melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai lelaki tersebut yang menghantar mesej ugutan kepadanya.