- Iklan -
Berita

Neo-feudalisme, politik wang tutup sentimen sebenar akar umbi Umno, kata Chandra

Chandra berkata Umno telah dipengaruhi dengan psikologi neo-feudal sejak zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ucapan-ucapan menyokong naratif yang dibawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kononnya parti itu dilayan secara buruk oleh parti lain dalam kerajaan tidaklah mengejutkan, kata pakar sains politik Chandra Muzaffar.

Chandra berkata hal ini kerana Umno telah dipengaruhi dengan psikologi neo-feudal sejak zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman, dan ia kemudian ditunjukkan sekali lagi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

“Ketika presiden buat cadangan, akar umbi akan ikut sama,” kata Chandra kepada MalaysiaNow.

“Tambahan pula, naratif yang dibawa oleh pemimpin utama parti itu adalah sesuatu yang menarik sentimen orang Melayu Umno dengan sangat mendalam.”

Bagaimanapun, katanya, situasi seperti itu tidak hanya wujud dalam Umno, di samping turut menambah PAP Singapura juga adalah contoh parti lain di mana anggota parti akan akan mengalah kepada kemahuan pemimpin mereka.

Chandra turut mengulas ucapan-ucapan perwakilan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, beliau berkata pada umumnya perwakilan dan pemimpin akar umbi menyetujui cadangan Zahid untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, dan juga mahu Umno menjadi parti dominan.

Zahid dan juga timbalan presidennya Mohamad Hasan memberitahu perwakilan Umno mesti kembali sebagai rakan kongsi politik yang dominan, seperti pengaruh yang dimilikinya parti itu mentadbir kerajaan selama lebih dari enam dekad.

Chandra berkata keputusan rasmi perhimpunan agung yang meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah sesuatu yang sememangnya dijangka.

Menurut Chandra, Umno mempunyai sejarah membeli sokongan. Sebuah amalan menukar wang tunai dengan sokongan daripada ketua bahagian.

“Mudah kata, Umno sudah kembali semula amalkan politik wang,” tambahnya.

Selain itu, katanya, dakwaan Zahid akar umbi Umno menyokong penuh keputusan parti untuk memutuskan hubungan dengan parti kerajaan diketuai Bersatu adalah hal yang sukar dipercayai.

“Saya tak fikir akan ramai dari mereka itu hendak putus hubungan dengan parti kerajaan. Mereka tahu baik dan buruknya, mereka dah lama pegang kuasa.”

Chandra turut berkata, para perwakilan yang menyokong keputusan itu mungkin di atas “alasan yang lain”.

Menurut beliau, mereka yang mengikuti jalur pemikiran bahawa Umno mampu membuat kemunculan semula setelah tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, mungkin sudah tersilap perkiraan.

“Mereka mungkin anggap boleh dapat sokongan dari perpecahan itu, tetapi jangan lupa, Umno hilang sejumlah kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya lalu.

“Itu semua berlaku, sebelum semua pendedahahan mengenai rasuah dilakukan di luar mahkamah,” tambah Chandra.

“Bagaimana seseorang boleh fikir Umno akan jadi parti yang dominan lagi?”

Zahid, dan bekas perdana menteri Najib Razak jika digabungkan angka pertuduhan di mahkamah berdepan lebih dari 80 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Kedua-dua pemimpin Umno itu kini menjadi pengkritik lantang terhadap presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selain dikenali sebagai pemimpin yang mendorong Umno mencari sekutu politik lain termasuk PKR.

Oktober lalu, kedua pemimpin itu menghantar sepucuk surat ke Istana Negara menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan dari Muhyiddin.