- Iklan -
Berita

Kerajaan Selangor siasat, beri kerjasama isu pajakan tanah di Bestari Jaya

Menurut setiausaha politik menteri besar, siasatan dalaman juga sedang dijalankan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peneroka di Tanjung Pasir mahu menteri besar dengar suara mereka mengenai pemilikan tanah di Bestari Jaya.
Peneroka di Tanjung Pasir mahu menteri besar dengar suara mereka mengenai pemilikan tanah di Bestari Jaya.

Kerajaan Selangor hari ini berkata pihaknya akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung siasatan isu pajakan tanah di Tanjung Pasir, Bestari Jaya dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan elemen rasuah di semua peringkat.

Setiausaha politik menteri besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan tidak akan melindungi mana-mana pesalah demi prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan tidak akan melindungi mana-mana pesalah.

“Justeru, kerajaan negeri bersedia dan akan memberi kerjasama sebaiknya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dua hari lalu, MalaysiaNow melaporkan tunjuk perasaan sekumpulan peneroka di Kampung Tanjung Pasir, Selangor yang mendesak sebuah pertemuan diadakan dengan Menteri Besar Amirudin Shari bagi menyelesaikan beberapa isu tanah yang tidak kunjung selesai sejak 40 tahun lalu.

Menurut jurucakapnya, V Jayakumar terdapat dua syarikat swasta yang diberikan pajakan selama 21 tahun untuk 200 ekar tanah di kawasan itu.

Jayakumar turut menyuarakan kerisauan berhubung kutipan sewa syarikat-syarikat tersebut daripada peneroka kawasan itu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar yang turut hadir dalam himpunan tempohari turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat syarikat-syarikat tersebut.

“Kedua-dua syarikat tersebut memiliki alamat yang sama dan baru sahaja diasaskan pada Julai 2018.

“Syarikat-syarikat tersebut diberikan pajakan dua bulan selepas ia mendapat kebenaran untuk tujuan pertanian, namun kami risau mereka nak lombong pasir,” katanya,” katanya

Dalam pada itu, Juwairiya dalam kenyataan yang sama berkata siasatan dalaman dan semakan terperinci sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor mengenai perkara tersebut.