Tahun lalu, peniaga bazar Ramadan tiada rezeki berniaga akibat pandemik Covid-19.
Namun 2021, nasib bakal menyebelahi mereka selepas diberi lampu hijau untuk membuka gerai di bazar.
Selepas setahun, peniaga dilihat bersemangat untuk memulakan operasi perniagaan mereka.
Bagi Ros Sahilla Atira dan suaminya, Mohamad Hafiz, tahun ini adalah bazar Ramadan pertama yang mereka sertai.
Pasangan yang berasal dari Terengganu itu bakal menawarkan sajian tempatan termasuk nasi dagang dan pulut nyiur.
Pasangan itu sebelum ini adalah pengusaha kantin di sebuah sekolah rendah namun malangnya, kontrak mereka ditamatkan Disember tahun lalu ekoran langkah-langkah diambil pihak sekolah bagi mengekang penularan Covid-19, hal ini memaksa perkhidmatan mereka ditamatkan selepas operasi sekolah ditutup di seluruh negara.
Bukan sekadar itu, mereka juga mengalami kerugian kerana kebanyakan pelajar disarankan membawa makanan mereka sendiri dari rumah.
Setelah kontrak berakhir, mereka tahu sukar untuk mereka bertahan di Terengganu.
Berbekalkan wang simpanan, mereka berpindah ke Selayang, Selangor demi memulakan kehidupan baru.
“Ini keputusan last minute,” kata Ros Sahilla kepada MalaysiaNow.
“Kami dah tak boleh duduk di Terengganu, jadi kami putuskan untuk pindah ke sini, mula perniagaan semula dari awal.”
Mereka baru sahaja sebulan menjadi penduduk Selayang, namun suasana daerah itu menggembirakan mereka.
“Perniagaan kami lebih baik di sini berbanding di Terengganu,” kata Ros Sahilla.
Bulan lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan untuk dibuka tahun ini.
Namun, katanya, gerai-gerai bazar mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk ruang yang cukup antara gerai, pemisahan pintu masuk dan keluar, selain wajib memeriksa suhu dan daftar masuk melalui aplikasi MySejahtera.
Menurut Ismail lagi, bazar Ramadan dibenarkan untuk dibuka bermula pukul 3 petang hingga 8 malam sementara bazar Aidilfitri dibenarkan untuk beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Ros Sahilla dan Hafiz sedar SOP wajib dipatuhi, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan.
“Sekarang ni pun, orang ramai dah beratur nak beli hidangan kami,” tambah Ros Sahilla.
“Untuk bazar Ramadan minggu depan, kami akan buat SOP lebih ketat dan pastikan pelanggan menjaga jarak fizikal.
“Apa pun, saya sangat gembira dapat peluang sertai bazar minggu depan.
“Tengok keadaan sekarang, saya tak fikir kami balik semula (ke Terengganu).”
Berbeza dari Ros, Salwani Abdul Shukor pula adalah veteran bazar Ramadan.
Salwani sudah 15 tahun mengusahakan gerai bazar Ramadan.
Setiap tahun, bazar Ramadan memberi peluang kepadanya untuk menjual pelbagai jenis makanan yang membawa keuntungan hingga RM10,000 sebulan.
Salwani bahkan menyifatkan setiap Ramadan yang dilaluinya sebagai pengusaha bazar sebagai “bulan bonus”.
Ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan tahun lalu, dia terpaksa mengubah perniagaan secara dalam talian.
Malangnya, keuntungannya tidak sama seperti apa yang dia perolehi di gerai.
“Namun kami tetap bersyukur kerana masih dapat jalankan perniagaan kami.”
Tahun ini, dia berharap dapat menarik lebih banyak pelanggan walaupun SOP penjarakan fizikal yang ketat akan dilaksanakan.
Salwani berhasrat untuk menjual 1,000 ketul samosa dan 400 ketul karipap di bazar Ramadan yang bakal dibuka minggu depan.
“Kami tak ada peluang ketika bazar ditutup tahun lalu. Jadi tahun ini, saya sangat berharap kami dapat lebih banyak pelanggan.”
Dia juga berkata SOP Covid-19 memperuntukkan tiga kaki tambahan kepada gerai bagi memastikan jarak yang cukup antara peniaga.
“Saya yakin tidak ada masalah untuk pastikan penjarakan fizikal di gerai,” kata Salwani.
Seperti Ros dan Hafiz, Amirul Ikmal Izhar yang ditemui MalaysiaNow berkata Ramadan kali ini adalah perniagaan kali pertama beliau di bazar.
Dia berharap tahun ini memberi pengalaman dan kenangan yang baik untuknya.
Amirul akan menjual ais batu campur dengan pelbagai perisa sirap kepada pengunjung bazar nanti.
“Saya pasti semua orang sangat merindui bazar Ramadan,” katanya.
“Ini adalah acara yang kita semua nantikan setiap tahun, dan sekarang ia kembali semula. Jadi untuk tahun ini, saya rasa kita akan lihat orang akan ramai datang.”
Namun, beliau berharap agar pembeli dan penjual tidak mengabaikan arahan pihak berkuasa selepas kebenaran diberikan untuk bazar Ramadan beroperasi.
“Sebagai penjual, kami pasti akan ikut SOP sebagaimana yang telah diarahkan. Saya harap pelanggan juga akan betul-betul ikut.
“Kita harus ambil serius langkah berjaga-jaga ini.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.