- Iklan -
Berita

Ramai pihak mula sedar tentang ‘kemiskinan haid’

Majlis Perbandaran Selayang ambil pendekatan bantu wanita yang tidak berkemampuan dalam pengurusan haid.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Najmi Samsudin, ahli JKP Zon 15  Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyumbang kit penjagaan kebersihan diri kepada penduduk Kampung Melayu Pekan Rawang.
Muhammad Najmi Samsudin, ahli JKP Zon 15 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyumbang kit penjagaan kebersihan diri kepada penduduk Kampung Melayu Pekan Rawang.

Ketidakmampuan untuk membeli tuala wanita atau “kemiskinan haid” mula disedari sebagai salah satu masalah yang melanda miskin bandar.

Tertarik dengan pendedahan MalaysiaNow pada Januari, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memulakan inisiatif menyumbangkan set penjagaan kebersihan diri di Kampung Melayu Pekan Rawang.

Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 15 MPS Muhammad Najmi Samsudin menyantuni penduduk dengan memberikan sumbangan 120 set penjagaan kebersihan wanita yang terdiri daripada tuala wanita, losyen, tuala basah, sabun dan cecair sanitasi.

“Awalnya saya agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemiskinan haid dan disebabkan itu pihak majlis mengambil pendekatan untuk membantu wanita yang tidak berkemampuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tidak dinafikan ia nampak mudah tetapi realitinya ada yang tidak mampu untuk mendapatkan tuala wanita disebabkan kurang berkemampuan.

“Tumpuan diberikan kepada penduduk yang berpendapatan rendah kerana kaum wanita ini lebih memberi fokus kepada perbelajaan keluarga berbanding diri sendiri.”

Najmi berkata, walaupun perkara melibatkan pembelian tuala wanita merupakan antara isu sensitif tetapi sambutan positif daripada masyarakat setempat amat memberangsangkan.

Katanya, selain memberikan sumbangan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Pekan Rawang, set penjagaan kesihatan turut diagihkan dari rumah ke rumah.

“Pada awalnya saya bimbang sekiranya mereka tidak mahu untuk hadirkan diri kerana hal ini merupakan perkara sensitif kepada wanita.

“Tetapi saya berterima kasih dan bersyukur apabila mereka hadir walaupun ada sebahagiannya perlu diagihkan secara dari rumah ke rumah,” katanya.

Pada Januari MalaysiaNow melaporkan “kemiskinan haid” antara masalah yang melanda miskin bandar disebabkan pandemik Covid-19.

Kesempitan wang menyebabkan terdapat wanita miskin bandar menggunakan kain perca atau tuala lama yang dipotong-potong kecil sebagai ganti kepada tuala wanita.

Menurut Najmi melihat kepada tanggungjawab sosial mengenai permasalahan tersebut, MPS berhasrat untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan sekali gus mewujudkan kesedaran tentang penjagaan diri dalam kalangan wanita.

Katanya, kesedaran mengenai penggunaan tuala wanita bukan sahaja perlu fokus hanya pada satu jantina dan kaum lelaki juga perlu prihatin tentang penjagaan kesihatan dan kebersihan wanita melibatkan isteri dan anak-anak.

“Kadang-kala penghuni di rumah flat lebih kurang berkemampuan berbanding mereka di luar bandar kerana tiada penyelenggaraan terutama kebersihan sampah dan masalah denggi,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.