Ketika diasaskan pada 2014, rumah produksi teater muzikal Liver and Lungs Productions yang diasaskan Shafeeq Shajahan dan Hannah Shields berjaya menarik minat orang ramai dan setiap kali persembahan diadakan mereka berdua akan menyaksikan jualan tiket yang tinggi.
Selama enam tahun, mereka menikmati hasil kerja keras mereka.
Namun, tahun 2020, Covid-19 melanda negara, kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan mula dilaksanakan.
“Kami ada sekitar 13 persembahan,” kata Shafeeq.
“Kami sepatutnya pergi ke Edinburgh Fringe Festival tahun lalu untuk membuat persembahan di sana. Kami juga sepatutnya bawa Sepet the Musical ke Macau.
“Tetapi semuanya terpaksa dihentikan.”
Pandemik yang melanda mengubah segalanya, dan Shafeeq tahu perniagaannya juga harus berubah.
Liver and Lungs menjadi salah satu rumah produksi teater pertama di negara ini yang melakukan peralihan sepenuhnya ke platform digital.
Langkah berani itu nampaknya membuahkan hasil.
Sebagai contoh, teater muzikal 2019 yang diadaptasi daripada naskah filem Yasmin Ahmad, Sepet, mengumpulkan ratusan peminat baru selepas ia ditayangkan di YouTube selama seminggu.
Namun, langkah itu tidak mudah, kerana perubahan yang mereka lakukan itu memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran teater.
“Kami memanglah orang yang aktif berteater, ia jadi sumber pendapatan.
“Namun, kami harus tingkatkan kemahiran bagi kerja-kerja menyunting video, bikin filem dan kejuruteraan audio. Semua kemahiran baru yang harus kami pelajari dengan cepat,” kata Shafeeq kepada MalaysiaNow.
Walaupun sukar, Shafeeq berkata ada hikmahnya mengambil langkah untuk keluar dari zon selesa.
“Kami meningkatkan kemahiran kami yang boleh buatkan kami bertahan lebih lama di masa hadapan.”
Pada Mac lalu, pihak berkuasa mengurangkan sekatan dalam sektor hiburan dan membenarkan persembahan dilaksanakan dengan penonton yang dihadkan.
Shafeeq tidak melihat perkara tersebut sebagai alasan untuk meninggalkan teater digital yang sudah pun dimulakan.
“Untuk masa depan teater, kami ingin lihat gabungan hibrid persembahan digital dan secara langsung.
“Tak bagus juga jika wabak ini datang dan pergi, tapi kita tak belajar apa-apa daripadanya,” katanya.
Pengasas Revolution Stage, Khairunazwan Rodzy, berkata syarikatnya juga menghadapi banyak cabaran sejak awal pandemik Covid-19 apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan.
Pada bulan Mac, dia terpaksa membayar tunggakan sewa sebanyak RM23,000.
Bagaimanapun, nasibnya baik, peminat seni teater banyak membantu apabila dalam masa 10 hari mereka berjaya mengumpulkan wang yang diperlukan bagi mengelakkan Revolution Stage berkubur.
Dengan kekangan yang berterusan dalam siaran langsung, mereka kini berharap dapat kembali membuat persembahan walaupun dengan margin keuntungan yang rendah.
Khairunazwan mengenang semula bagaimana pertunjukan fizikal terakhir mereka yang diadakan semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) tahun lalu tidak menghasilkan pulangan yang baik.
“Jualan tiket sangat rendah kerana hanya 20 orang penonton dibenarkan. Pada masa itu, kami sudah hadapi masalah kewangan dan ia merupakan masa yang sangat sukar bagi kami.”
Pengalaman itu memberi inspirasi kepadanya untuk menggabungkan media fizikal dan digital untuk rancangan masa depannya.
Naskah terbaru mereka, “Pegawai Khalwat”, yang akan dipentaskan minggu depan, akan ditayangkan di Petaling Jaya dan disiarkan secara langsung di laman sesawang rasmi mereka.
“Kami masih dalam fasa eksperimen untuk melihat apakah peminat teater dapat menikmati persembahan dalam talian.
“Penting untuk kami tahu sama ada mereka dapat nikmati persembahan dalam talian sama seperti mereka alami teater fizikal.
“Sekarang, setelah kita belajar dari pengalaman lalu, saya rasa bagus untuk kita gabungkan kedua-dua medium demi kepuasan penonton,” kata Khairunazwan.
Seorang penggemar konsert Aqil Syakir sangat gembira kerana dapat menemui peminat seni tanah air yang lain.
Dia memberitahu MalaysiaNow konsert maya tidak memacu adrenalin yang sama seperti konsert fizikal.
“Saya bosan dengan pertunjukan maya, mengapa kita perlu bayar tiket dengan harga yang sama dengan konsert fizikal?
“Sebab itu, ketika penganjur umumkan konsert dengan norma baru, apa yang hilang dalam diri saya seakan ditemui semula,” katanya.
Kali terakhir Aqil pergi ke konsert adalah pada Januari 2020.
Ketika penganjur mengumumkan siri pertunjukan yang terdiri daripada persembahan kumpulan rock di bawah SOP yang ketat.
Tidak berfikir panjang, dia menempah tiket untuk dua konsert pada minggu yang sama.
Namun persoalan timbul lagi, bagaimana seseorang dapat menikmati muzik ketika lantai pentas tidak lagi penuh dengan penggemar konsert yang menyanyikan lagu kegemaran mereka bersama-sama?
“Pertunjukan norma baru tidak sama seperti sebelum ini, kerana kita terpaksa berdiri di dalam satu kotak dengan jarak satu meter antara satu sama lain,” kata Aqil kepada MalaysiaNow.
“Kita juga kena pakai pelitup muka sepanjang masa. Ini adalah pengalaman yang sangat berbeza bagi saya, tetapi saya gembira kerana saya dapat tonton kugiran buat persembahan di hadapan saya.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.