- Iklan -
Berita

Pemerdagangan haiwan liar boleh cetuskan pandemik lain, kata aktivis

Aktivis gesa aktiviti pemerdagangan haiwan liar dan penebangan hutan dihentikan bagi mengelakkan kemungkinan penularan 800,000 jenis virus yang masih belum ditemui pada binatang.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Pegawai kastam bersama kulit tenggiling bernilai Rm9.2 juta yang dirampas pada 2017 ketika ia cuba diseludup ke dalam negara dari Afrika, ia dipercayai digunakan untuk pasaran China. Gambar: AP
Pegawai kastam bersama kulit tenggiling bernilai Rm9.2 juta yang dirampas pada 2017 ketika ia cuba diseludup ke dalam negara dari Afrika, ia dipercayai digunakan untuk pasaran China. Gambar: AP

Pakar alam sekitar menggesa aktiviti pemerdagangan haiwan liar dihentikan segera sekali gus memperingatkan penjualan dan pengambilan organ binatang boleh mencetuskan penularan wabak lain ketika dunia berjuang membendung Covid-19 – virus yang baru-baru ini dilaporkan mungkin menjangkiti manusia melalui haiwan perantara berpunca daripada kelawar.

Gesaan tersebut juga susulan sebuah laporan yang diterbitkan platform dasar-sains negara-negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai biodiversiti dan khidmat ekosistem yang menyatakan bahawa kira-kira 1.7 juta virus dianggap wujud pada binatang dan sekitar 827,000 boleh menjangkiti manusia melalui kontak rapat.

Menurut laporan tersebut, lebih 70% kemunculan penyakit seperti Ebola, Zika dan Nipah m berpunca daripada mikrob yang terdapat pada haiwan namun kemudian menjangkiti hidupan liar lain, ternakan dan manusia.

Aktivis Andrew Sebastian berkata pemerdagangan haiwan liar adalah “masalah besar”.

“Pertama, binatang boleh pupus. Kedua, ada ancaman virus yang boleh hidupkan virus tidak aktif di kawasan haiwan liar sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Gesaan kepada kerajaan untuk melarang pemerdagangan hidupan liar bukanlah perkara baru.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia (Perhilitan) juga sering dilaporkan berusaha untuk menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat dalam pemerdagangan haiwan atau bahagian anggota badannya.

Namun Sebastian berkata pemerdagangan hidupan liar terus berlaku dan semakin menjadi-jadi.

Katanya lagi, hal ini berlaku disebabkan wujud permintaan dari China.

“China adalah pengeksport dan pengguna hidupan liar nombor satu di dunia. Ramai dari komunitinya di seluruh dunia masih berpegang dengan cara tradisional untuk memakan bahagian tubuh haiwan liar untuk tujuan kesihatan,” katanya di samping turut berkata hal ini perlu dihentikan segera.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata habitat semula jadi haiwan yang dimusnahkan ketika ini juga meningkatkan risiko penyakit tidak diketahui merebak kepada manusia kerana hidupan liar kini mula mendekati haiwan ternakan, ladang dan tempat tinggal manusia.

“Pembukaan hutan dara boleh melepaskan patogen dan bakteria yang tak pernah ditemui sebelum ini,” tambahnya.

Sabrina dan Sebastian bersetuju larangan menyeluruh terhadap pemerdagangan hidupan liar setempat perlu dilaksanakan, kerana aktiviti tersebut boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan masyarakat.

Sebastian juga turut memberi amaran mengenai pemerdagangan haiwan peliharaan eksotik yang menurutnya turut berperanan dalam isu pemerdagangan haiwan liar di Malaysia.

“Mulakan dulu larangan pemerdagangan haiwan peliharaan eksotik yang menggalakkan permintaan aktiviti pengurungan binatang, sama ada hidupan liar tempatan atau hidupan liar dari luar negara.

“Ini bukan sesuatu kebiasaan yang kita harus terima dalam perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, usaha menghentikan pemerdagangan hidupan liar tidak mungkin berjaya tanpa undang-undang yang lebih ketat selain pelaksanaan hukuman yang lebih berat, kata mereka.

Shariffa menambah, ketika ini, masih ramai pemburu haram dan pedagang hidupan liar bebas menjalankan aktiviti dan berjaya melepaskan diri tanpa dihukum jika ditangkap.

Menurutnya lagi, usaha menyelamatkan binatang kurungan juga sering terlambat.

Shariffa berkata, Perhilitan mungkin sudah bekerja keras bagi menghentikan pemerdagangan hidupan liar, dan aktiviti pemburu haram.

Namun, tugas tersebut terlalu besar untuk sebuah jabatan sahaja.

Dia mencadangkan agar badan itu turut bekerjasama dengan jabatan lain, masyarakat setempat dan bahkan pasukan bersenjata.

Sebagai pengkritik yang lantang berhubung kegiatan pembalakan di Malaysia, Shariffa turut menggesa jabatan perhutanan negeri menghentikan nyahwarta kawasan hutan dan aktiviti pembalakan baru.

Sebastian pula berkata kerajaan juga boleh mencegah aktiviti pemburuan haram serta pemerdagangan binatang liar dengan menghentikan pengedaran lesen memburu dan melarang penjualan haiwan peliharaan eksotik.

“Ganjaran untuk pemberi maklumat juga harus ditambah,” katanya.

Menurutnya, penduduk tempatan termasuk malim hutan dan komuniti tempatan harus diberi kuasa untuk memantau aktiviti penangkapan atau pemerdagangan hidupan liar.

“Ini akan membantu undang-undang yang ada dapat diterapkan dengan lebih berkesan.”