Ketika doktor memberitahu Mohd Faizal Rahmat bahawa kaki kirinya perlu dipotong, dia terkejut dan hilang kata-kata.
Perasaannya runtun memikirkan kata-kata doktor. Dia terfikir apa yang akan jadi selepas tidak lagi dapat berjalan seperti biasa, hal ini sering mengacau fikiran.
Dia pulang ke rumah dan cuba abaikan nasihat doktor dan jalani hidup seperti biasa. Namun hari demi hari, kesakitan di kakinya menjadi semakin teruk.
“Saya sampai tak boleh tidur malam sebab sakit,” kata Mohd Faizal Rahmat, kepada MalaysiaNow.
Artis ini terkenal dengan lukisan-lukisan 3 dimensi (3D) suasana dan bangunan bandar Melaka.
Lukisan-lukisannya juga pernah menjadi tular di media sosial beberapa tahun lalu.
Butiran Istana Melaka yang mengagumkan, bandarnya, dan pelabuhan yang digambarkan lewat lukisan menjadikan artis ini diminati ramai penggemar sejarah Melaka. Ada yang berkata lukisan-lukisannya membawa mereka kembali ke abad 14.
Sebahagian lukisannya dibeli orang ramai dan bahkan turut dimuatkan sebagai kulit beberapa buah buku tempatan mengenai Melaka. Ada juga lukisannya yang menghias latar acara-acara forum sejarah syarikat penyiaran.
“Lepas karya saya tular, banyak juga kerja freelance yang saya dapat,” katanya.
“Kerja komisen paling besar yang saya pernah dapat adalah dari Rizalman Ibrahim, dia minta saya reka semula Balairong Seri Istana Negara bagi pertabalan Agong yang sekarang ini. Bangga juga dapat kerja dalam projek sebegitu.”
Namun, ketika karyanya mula dikenali ramai, kesihatannya pula menjadi semakin merosot.
Pada 2017, dia mula menderita akibat sakit misteri di kakinya.
Ketika itu juga, ibunya turut disahkan menghidap kanser, dia terpaksa melepaskan kerja sebagai seorang pereka bentuk di sebuah firma arkitek dan pulang ke kampungnya di Pekan, Pahang demi menjaga ibunya.
Sakit di kakinya makin teruk, sehinggalah pada 2019, dia disahkan menghidap penyakit “vaskular periferi,” satu penyakit gangguan peredaran darah yang menyebabkan penyempitan saluran darah ke bahagian badan selain daripada otak dan jantung.
Ketika ditawarkan kerja sepenuh masa di sebuah lagi firma arkitek pada tahun itu, dia menerimanya dan pulang semula ke Kuala Lumpur.
“Saya tinggal di satu hostel di Brickfields, sebuah tempat di mana sahabat saya kerja di situ. Pejabat saya pula di Setiawangsa, jauh juga dari stesen LRT. Saya terpaksa jalan kaki dari stesen ke pejabat, dan kaki saya jadi lagi teruk,” katanya lagi.
“Akhir 2019, saya diberhentikan kerja sebab keadaan kesihatan dan dalam masa yang sama saya dapat kad OKU.”
Dia dan sahabatnya terpaksa berpindah dari satu hotel ke hotel yang lain,sehingga kadang-kadang diminta untuk keluar dari tempat penginapan kerana kaki kirinya semakin teruk dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
“Nasib baiklah, ada seorang yang baik hati, dan tak mahu dikenali, telah bayarkan deposit untuk rumah yang saya sewa ni. Saya masih perlu bayar sewa dan perbelanjaan sara hidup dan ubat-ubatan saya,” tambahnya.
“Saya kongsi sewa dengan sahabat dan seorang lagi penyewa.”
Namun dia masuk ke rumah sewanya itu sebagai orang yang berbeza.
Sebelum berpindah ke sana, kakinya sudah semakin teruk dan tidak lagi dapat bertahan, dia akhirnya setuju kaki kirinya dipotong di hospital Kuala Lumpur pada awal 2020.
Tidak lama selepas itu, perintah kawalan pergerakan (PKP) pula dilaksanakan.
Hal itu menjadikannya dapat menyesuaikan diri dalam hidup baru sebagai orang kurang upaya.
Kerja-kerja bebas untuk membuat lukisan 3D juga banyak sepanjang tempoh itu.
“Alhamdulillah, saya dapat uruskan. Kadang-kadang dapatlah juga projek-projek besar membolehkan saya sara hidup beberapa bulan. Permintaan untuk kerja saya pun banyak bantu selain pengeluaran i-Sinar,” tambahnya.
Dia berkata sebulan, pendapatannya boleh menjana RM700 tidak termasuk beberapa kerja bebas yang diperolehinya.
“Saya terpaksa jusl lukisan-lukisan saya semurah yang boleh, kerana perlukan wang untuk hidup. Saya tahu kerja-kerja saya harganya lebih mahal, tapi saya perlu kurangkan ego,” katanya lagi.
Dia juga perlu bergantung dengan sahabatnya untuk membawanya untuk jalani pemeriksaan hospital.
“Saya tak boleh buat sendiri. Sahabat saya bahkan belajar bagaimana nak rawat kaki saya sebab kami tak boleh ke hospital dua hari sekali untuk jahit luka.
Dia memberitahu kepada MalaysiaNow bahawa bulan ini dia mempunyai satu lagi pembedahan, kali ini untuk pembedahan pemindahan kulit.
“Sekarang ini, Saya berhenti terima kerja. Saya mungkin kena masuk wad, jadi saya tak mampu nak siapkan. Saya nak fokus untuk pembedahan ini sebelum teruskan hal lain.”
Sepanjang menanti hari pembedahan, sebahagian awan hitam yang menyelubunginya mungkin turut akan sirna. Kerana dia kini mendapat satu lagi pencapaian yang akan disenaraikan dalam portfolionya.
Majalah sejarah Jerman, GEO Epoche, akan memuatkan karya-karyanya bagi edisi Mei depan, hal ini sangat mengujakan dirinya.
Dia juga mahu menumpukan kerja untuk projek seterusnya: sebuah buku yang akan memasukkan semua karya-karyanya mengenai Melaka.
“Buku itu akan diterbitkan bersama Universiti Teknologi Malaysia di mana saya belajar dulu dan juga Malaysian Institute of Architects,” katanya lagi kepada MalaysiaNow.
“Buku ini bukan sekadar buku mengenai karya visual ia juga turut memuatkan maklumat tentang sejarah melaka. Kami sekarang ini sedah rancang sebuah pameran sempena penerbitan buku ini,” katanya.
Barangkali, walaupun selepas mengalami trauma sejak beberapa tahun lalu.
Kehidupannya kini menuju ke satu tempat di mana dia dapat menikmati hasil dari bakal seninya yang sukar dinafikan lagi.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.