- Iklan -
Berita

Pandemik ganggu tahap celik huruf dalam kalangan murid

Para guru berkata tahap celik huruf murid-murid sangat membimbangkan sejak penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Guru sekolah rendah terpaksa memberikan penumpuan kepada murid-murid yang ketinggalan dalam melengkapkan kemahiran asas membaca dan menulis sejak sekolah dibuka semula di bawah PKPB.
Guru sekolah rendah terpaksa memberikan penumpuan kepada murid-murid yang ketinggalan dalam melengkapkan kemahiran asas membaca dan menulis sejak sekolah dibuka semula di bawah PKPB.

Guru-guru sekolah menyuarakan kebimbangan mengenai penurunan kadar celik huruf dalam kalangan murid-murid susulan sesi pengajaran bersemuka terpaksa dihentikan dan ditukar kepada sesi pengajaran dalam talian sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata guru-guru ketika ini terpaksa berusaha keras demi menjayakan rancangan pemulihan pendidikan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah tempat mereka mengajar.

Mereka turut berkata penurunan ketara dapat dilihat berkait kemahiran membaca dan menulis murid-murid apabila sekolah dibuka semula untuk sesi pengajaran bersemuka tahun ini.

Guru sekolah kerajaan di Kedah, Dina berkata kecelikan huruf murid-muridnya menjadi semakin teruk akibat terlalu lama tidak berada dalam sesi-sesi kelas sepanjang penutupan sekolah susulan PKP.

Walaupun pengajaran di rumah atau PdPR dilaksanakan dalam pelbagai platform digital, beliau berkata bentuk pengajaran sedemikian rupa tidak berkesan terhadap sebahagian besar pelajar.

“Kemahiran membaca mereka jadi makin merosot,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut menambah para guru juga terpaksa kembali mengajar perkara asas dan mengajar murid-murid mereka semula dari awal silibus.

Walaupun ada segelintir murid yang mampu mengingati semula pelajaran yang pernah dilalui mereka sebelum ini melalui pembelajaran kendiri.

Namun, katanya, ramai muridnya yang lain tidak mampu mendapatkan semula kemahiran tersebut.

“Tahap mereka sekarang tak sepadan dengan apa yang mereka sepatutnya capai pada umur sekarang,” jelasnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengingatkan bahawa pandemik Covid-19 menjadikan sistem pendidikan terganggu pada skala yang paling besar dalam sejarah, ia menjejaskan hampir 1.6 bilion murid di lebih 190 negara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengingatkan pandemik Covid-19 menjadikan sistem pendidikan terganggu pada skalanya yang paling besar dalam sejarah, menjejaskan hampir 1.6 bilion murid di lebih 190 negara.

PBB juga berkata penutupan sekolah dan ruang pembelajaran yang lain memberi kesan terhadap 94% populasi pelajar di dunia, peratusan itu meningkat di negara-negara berpendapatan rendah sebanyak 99%.

Seorang guru sekolah rendah dari Negeri Sembilan, Mazlina berkata kecelikan huruf menjadi masalah serius dalam kalangan murid Tahun 1 dan 2.

Dia berkata, hampir setengah daripada jumlah muridnya menghadapi kesukaran untuk membaca dan menulis terutamanya dalam matapelajaran Bahasan Inggeris.

“Setiap tahun, saya boleh tengok macam mana anak murid saya memperbaiki kemahiran membaca dan menulis mereka ketika mereka di Tahun 2. Namun kali ini, saya terpaksa berusaha keras terutama selepas pandemik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagi sebahagian murid, katanya, sebahagian masalah tersebut berpunca daripada kurangnya latihan ketika PdPR.

Yang lain pula langsung tidak mampu sertai kelas dalam talian.

Justeru, menurut Mazlina, ia memberi impak serius terhadap kemahiran membaca dan menulis mereka.

Setakat ini, beliau cuba membantu pelajar-pelajar yang lemah mempelajari dan mengejar semula silibus yang tercicir.

“Saya pun cuba tukar cara mengajar saya,” katanya.

“Sesi ‘one-to-one’ memerlukan usaha yang lebih dari guru namun itulah fokus utama guru-guru sekarang.”

Mazlina turut menempatkan murid yang lemah dalam satu kumpulan agar dia dapat memberikan penumpuan yang lebih terhadap mereka.

Sementara murid-murid yang sudah memiliki kemahiran tersebut akan diberikan latihan tambahan bagi menajamkan kemahiran mereka.

Dalam kelas-kelas pemulihan di sekolahnya, guru-guru ditugaskan untuk memantau sekurang-kurangnya lima orang murid yang perlu diberikan penumpuan bagi melengkapkan kemahiran-keahiran asas dan menyediakan pengajaran yang lebih khusus kepada mereka.

Namun kelas-kelas tersebut hanya menumpukan subjek Bahasa Melayu dan matematik,

“Sementara Bahasa Inggeris, kami terpaksa tangani sendiri.”

Panitia Bahasa Inggeris di sekolahnya juga cuba bekerjasama dengan pusat sumber bagi menyediakan murid-murid dengan bahan-bahan bacaan, sementara untuk kemahiran menulis beberapa kelas dibahagikan mengikut tahap rendah, sederhana dan baik supaya murid-murid dapat diberikan latihan-latihan penulisan yang sesuai dengan mereka.

Dalam pada itu, di sekolah Dina, murid-murid dikehendaki hadir ke bengkel-bengkel di sekolah demi mempelajari mata pelajaran yang tercicir.

Namun usaha yang lebih masih diperlukan dari guru-guru dan para murid demi menyelesaikan pelajaran yang tercicir.

Setakat ini, para guru masih belum melihat hasilnya sama ada kaedah dan program yang dilakukan itu efektif atau tidak.

Namun Dina masih menyimpan harapan yang tinggi.

“Kami harap ia boleh berikan perubahan positif terhadap murid-murid kami,” katanya.