- Iklan -
Berita

Kehadiran spesies ikan asing pemangsa jejaskan nelayan Perak

Ramai bimbang berhubung aktiviti pelepasan spesies ikan pemangsa asing ke dalam kawasan air tawar negara sehingga mengganggu ekosistem tempatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Ikan keli redtail yang ditemui di Sungai Perak adalah sejenis ikan pemangsa berasal dari Sungai Amazon.
Ikan keli redtail yang ditemui di Sungai Perak adalah sejenis ikan pemangsa berasal dari Sungai Amazon.

Saban hari ketika terbit sahaja matahari, nelayan Mohd Nazim Samsudin turun ke Sungai Perak bagi menjala ikan.

Ikan dan udang galah adalah hasil yang biasa diperolehinya.

Namun, dua minggu lalu, sejenis ikan pelik tersangkut di jalanya – ikan keli redtail.

“Saya terkejut,” katanya. “Nelayan di kampung ini tidak pernah tangkap spesies itu.”

Rasa terkejutnya tidak berakhir di situ. Dia mendapat tahu, rakan-rakannya dari Kampung Sungai Buaya di Perak juga turut menemui spesies serupa malahan salah seorang daripada mereka mendapat sembilan ekor ikan jenis itu dalam satu tangkapan.

Dua hari sebelumnya, penduduk kampung mendapat berita ratusan sangkar ikan yang terletak berhampiran Teluk Intan dihanyutkan arus sungai.

Menurut maklumat yang diterima mereka, ia adalah milik sebuah syarikat penternakan ikan haram.

Hal ini membimbangkan mereka, kerana ia bermaksud sekumpulan ikan keli redtail yang diternak secara haram kini bebas berkeliaran di sungai tempat mereka mencari rezeki.

Perkara itu menjadi masalah kerana ikan keli redtail memang dikenali sebagai spesies ikan pemangsa.

Para nelayan di kawasan tersebut kini merasai kesannya. Tangkapan ikan mulai berkurang.

Sebelum ini, Nazim berkata kebiasaannya dia akan menaikkan dua atau tiga kg ikan dan udang galah setiap hari.

“Sekarang, 1kg ikan pun sukar nak dapat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mereka bimbang ekosistem sungai akan terjejas sekiranya tidak ada tindakan lanjut dilakukan pihak berkuasa.

Ikan keli redtail berasal dari Sungai Amazon dan beberapa sungai lain di Amerika Selatan.

Panjangnya boleh mencapai 1.8m dan dan boleh membesar sehingga seberat sekitar 80kg.

Jabatan Perikanan Perak (JPP) berkata spesies tersebut dilarang untuk diternak di dalam sangkar.

Namun, 30 tan ikan spesies itu dipercayai terlepas dalam insiden yang berlaku di Teluk Intan.

Pengarah JPP Zaki Mokri turut menyatakan kebimbangan pihaknya sekiranya ikan itu membiak sekali gus menjadi ancaman kepada spesies dan sumber air tawar tempatan.

Ikan keli redtail dari Sungai Mekong juga dikatakan dilepaskan ke Sungai Perak berikutan insiden tersebut.

Nazim berkata, spesies itu kini bukan sahaja ditemui di sungai utama namun turut ditemui di parit dan terusan kecil berhampiran jeti.

Seorang lagi penduduk kampung, Firdaus berkata penduduk tempatan maklum mengenai insiden sangkar yang dihanyutkan arus sungai, namun mereka tidak tahu spesies apa yang terlepas daripada sangkar ternakan tersebut.

Pada 2 April lalu, dia menyiarkan beberapa gambar ikan keli redtail di laman Facebook “Kg Sungai Buaya Kg Gajah”.

Gambar-gambar yang dimuat naik dikongsi ramai orang dan segera menjadi tular di media sosial.

“Penduduk kampung tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan ikan itu, kerana tidak ramai orang yang biasa memakannya,” katanya.

“Sebilangan dari kami hanya berikan hasil tangkapan kepada rakan-rakan dan penduduk kampung lain yang ingin rasa buat kali pertama.”

Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) mengakui wujud masalah spesies pemangsa asing dalam ekosistem tempatan.

Jabatan itu turut menambah bahawa spesies tempatan masih mendominasi kebanyakan daerah kecuali di Puchong.

Salah satu kawasan yang diserang spesies asing adalah Tasik Temenggor di Perak pada 2016.

Di tasik itu, bilangan tilapia Nil dikesan semakin meningkat, ikan spesies itu pada awalnya hanya dibiakkan di dalam sangkar.

Jabatan itu turut menjelaskan ikan-ikan spesies itu boleh tersebar sejauh 40km dari lokasi sangkar.

Populasi ikan raja (peacock bass) juga turut ditemui di Tasik Timah Tasoh di Perlis, ia merekodkan tangkapan tertinggi ketiga dalam kajian 2017 yang dilakukan jabatan tersebut.

Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow, jabatan perikanan turut berkata spesies asing hanya dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara bagi tujuan lain seperti pembiakan ikan hiasan dan akuakultur.

“Spesies asing yang terlepas masuk ke dalam ekosistem, biasanya kerana kolam (yang menempatkan spesies itu) tidak mematuhi SOP keselamatan biologi.”

Spesies lain yang dibawa masuk ke dalam negara adalah spesies ikan hobi, seperti ikan pemakan alga.

“JPM memberikan perhatian serius terhadap masalah spesies pemangsa ini,” kata kenyataan itu sambil menambah wujud spesies ikan yang mengancam keselamatan manusia jika diizinkan berkembang biak berdekatan kawasan yang kediaman mereka.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Mazlan Abd Ghaffar berkata, kebimbangan utama mengenai pelepasan ikan pemangsa adalah kesan terhadap ekologi.

“Ketika spesies itu dilepaskan, ekologi dan rantai makanan akan terganggu kerana spesies pemangsa lain diperkenalkan (kepada ekologi sedia ada).”

Bagaimanapun, beliau dilihat lebih bimbang terhadap kemungkinan spesies tempatan “dihibrid” dengan kehadiran spesies asing.

“Spesies tempatan dianggap sebagai khazanah semula jadi kita,” katanya.

Sementara itu, JPM berkata beberapa langkah diambil termasuk membentuk sebuah jawatankuasa teknikal bagi menguruskan “spesies asing yang berbahaya” dan pewartaan kaedah perikanan bagi perikanan di kawasan pedalaman.

Senarai terkini ikan yang dilarang dibawa masuk ke negara turut disediakan jabatan itu, dan kini kajian mengenai laluan masuk spesies asing dan impak pembiakannya di perairan tempatan turut diusahakan.

“Penternak yang tidak patuhi peraturan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

“Buat masa ini, Johor, Kelantan dan Melaka sudah bersedia untuk melaksanakan peraturan yang ditetapkan.”