- Iklan -
Berita

Perang sudah tamat, namun hidup masih sukar buat seorang veteran tentera

Di usia 74 tahun, A Arullapan menjaga isteri yang menghidap strok dan anak lelakinya yang merupakan OKU.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
A.Arullapan melihat Pingat Jasa Malaysia yang dianugerahkan kepadanya pada 16 Februari 2019 lalu di Kementerian Pertahanan Malaysia.
A.Arullapan melihat Pingat Jasa Malaysia yang dianugerahkan kepadanya pada 16 Februari 2019 lalu di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Setiap minggu Arullapan Anthony, 74, setia membawa isterinya ke pusat fisioterapi untuk mendapatkan rawatan.

Di usia emas, Arullapan tetap menjaga isterinya yang menghidap penyakit strok sejak enam tahun lalu dan bergantung dengan sesi rawatan mingguannya bagi mengekalkan progres kesihatannya yang perlahan-lahan beransur pulih.

Untuk melaksanakan kewajipannya itu, anak mereka, Pius, seorang orang kurang upaya (OKU) berusia 51 tahun terpaksa ditinggalkan di rumah seorang diri.

Menurut veteran tentera itu, isterinya Annamary Sokkan, 66, pernah hidup secara normal.

Namun, kehidupan mereka berubah apabila Annamary menghidap penyakit strok pada tahun 2015 menyebabkan hilang keupayaan untuk berjalan.

Kini, Arullapan menghabiskan hari-harinya menjaga mereka berdua.

Sebagai seorang pesara tentera, kerja-kerja berat bukan asing bagi Arullapan. Beliau pernah berkhidmat sebagai unit bantuan tempur Rejimen Semboyan Diraja Tentera Darat selama 22 tahun bahkan turut serta dalam operasi ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1969.

“Saya hampir mati semasa misi di Taiping sebab kami kena diserang hendap.

“Saya dan lapan orang yang lain naik atas bukit untuk hantar generator. Bila sampai tempat paling tinggi, kami diserang hendap,” katanya kepada MalaysiaNow

Kerana khidmatnya itu, beliau dikurniakan Pingat Jasa Malaysia yang diterima pada tahun 2019.

Namun, walaupun pernah menyabung nyawa berkhidmat untuk negara, kini perjuangannya adalah di rumah bagi menjaga isteri dan anak.

“Bangun pagi saya mandikan isteri saya. Kemudian saya akan ke kedai untuk beli tose atau mi goreng.

“Tengah hari saya akan masak nasi dan beli kari di kedai. Malam pula saya akan mandikan isteri saya lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Wang persaraan A.Arullapan digunakan untuk merawati isterinya, Annamary Sokkan yang mengidapi penyakit angin ahmar dan anak sulungnya berusia 51 tahun mengalami masalah mental.

Arullapan tinggal bertiga bersama isteri dan anak sulungnya di rumah kecil mereka di Nanding, Hulu Langat, Selangor, manakala empat orang anaknya yang lain tinggal berjauhan dari keluarga.

Menurut Arullapan, Pius, anak sulungnya itu tidak mampu bercakap.

“Dia memang tak boleh bercakap. Jadi bila dia sakit, dia tak tahu macam mana nak beritahu saya.

“Kalau dia menangis, saya tak faham mengapa. Itu masalah yang susah untuk saya.”

Annamary pula kini terpaksa bergerak ke mana-mana menggunakan kerusi roda.

Menurut wanita itu, dia tidak mampu berjalan sejak diserang strok pada 2015.

“Saya sedang masak dan saya rasa pening dan terus jatuh. Bila saya bangun, doktor kata saya kena strok,” kata Annamary kepada MalaysiaNow.

“Bila saya kena strok, saya dah tak ingat apa-apa. Dalam kepala semua kosong.”

Jaguh sukan

Selain berkhidmat sebagai tentera, nama Arullapan turut harum sebagai seorang jaguh sukan mewakili Rejimen Semboyan Diraja dalam beberapa acara.

Pasukan bola sepak dan bola keranjang yang diwakilinya pernah bergelar johan, selain turut aktif mewakili Angkatan Tentera Malaysia untuk sukan hoki dan olahraga.

Hebatnya Arullapan bermain bola sepak sehingga pernah berkongsi padang yang sama bersama lagenda sukan itu Mokhtar Dahari dan Zainal Abidin Hassan.

“Kalau sebut nama saya dekat Zainal, mesti dia kenal.

“Saya wakil Semboyan lawan dengan pasukan lain untuk Kajang League. Masa itu lah Mokhtar dengan Zainal Abidin bawa team mereka daripada fire brigade.

“Dari situ lah saya kenal Mokhtar dan Zainal,” katanya sambil tersenyum mengimbau kembali kenangan manis itu.

A.Arullapan juga sangat aktif dalam bidang kesukanan, sepanjang beliau berkhidmat dengan tentera darat beliau merupakan pemain hoki dan bola sepak.

Selepas bersara dari tentera, Arullapan mula bekerja sebagai seorang penyelia di Universiti Perdana di Cheras.

Namun, selepas isternya menghidap strok dan tidak mampu menjaga Pius seorang diri, Arullapan terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keluarganya.

Keluarga ini mengharapkan wang pencen sewaktu Arullapan sebanyak RM1300 sebulan.

Menurutnya, sejumlah RM460 terpaksa digunakan untuk membayar balik pinjaman pendidikan untuk anak bongsunya James yang menerima ijazah dari Segi College.

Bayar pinjaman anak

James yang tamat belajar pada tahun 2014 sehingga kini masih lagi tidak dapat pekerjaan setaraf dengan ijazah kejuruteraan eletrik dan dia terpaksa bekerja di Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menampung kos hidup.

“Saya hanya harapkan duit pencen. Ada juga dapat bantuan untuk anak OKU dan warga emas.

“Itu pun tak cukup makan untuk hidup. Saya keluarkan seribu lebih untuk perubatan isteri saya.

“Saya juga tiada kenderaan. Jadi kalau pergi hospital kami naik Grab. Jumlah semua cecah lebih RM100 setiap kali keluar,” katanya.

Beginilah suasana di rumah A.Arullapan, anaknya yang mengalami masalah mental hanya duduk di katil yang diletakkan pada ruang tamu.

Lebih menyedihkan lagi, tahun lepas Arullapan mengalami kemalangan yang menyebabkannya sukar untuk berjalan.

Menceritakan kepada MalaysiaNow, Arullapan berkata pada ketika itu, dia cuba untuk membaiki pintu rumahnya namun tergelincir dan menyebabkan mesin gergaji jatuh ke atas dirinya.

“Tiada siapa tolong saya waktu itu. Saya terpaksa merangkak ke depan rumah dan telefon anak saya.

“Kepala saya kena 8 jahitan dan 16 jahitan di kaki. 80 peratus urat saya putus,” katanya sambil menunjukkan balutan di kaki kanan.

Disebabkan insiden tersebut, Arullapan kini sukar untuk berjalan dan berdiri untuk waktu yang lama.

“Saya boleh berdiri tapi kadang-kadang tak seimbang.

“Tapi apa yang saya boleh buat, inilah nasib saya,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.