- Iklan -
Berita

‘Tidak perlu permohonan maaf, ini kes jenayah’, kata ahli Dewan Negara

Beliau turut mempersoalkan mengapa polis 'memberikan layanan istimewa' dengan membenarkan majikan itu mengadakan sidang media ketika sedang direman.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kesan rotan di badan mangsa. Gambar: PDRM
Kesan rotan di badan mangsa. Gambar: PDRM

Seorang ahli Dewan Negara menyelar tindakan majikan yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa pada bulan Ramadan membuat permohonan maaf semalam.

Muhammad Zahid Md Arip berkata ini kerana kes ini sudah menjadi kes jenayah.

“Perlu apa minta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong? Apakah dengan penyataan maaf ini, maka kes jenayah kekerasan yang dilakukan akan ditutup dan suspek berkenaan akan bebas dan lepas begitu sahaja?” soal Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan lelaki berusia 43 tahun itu memohon maaf ketika diiringi dan diapit oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

“Sekiranya apa yang saya katakan kepada pengawal peribadi saya menyinggung perasaan sesiapa, saya rasa saya harus minta maaf kepada semua umat Islam di negara ini, kepada Yang di-Pertuan Agong dan dua bekas pengawal peribadi saya.

“Bagaimanapun saya tidak bermaksud menghina sesiapa dengan apa yang saya katakan,” katanya.

Zahid turut mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang dikatakan sebagai “memberikan layanan istimewa” dengan membenarkan majikan itu mengadakan sidang media.

“Hamid tidak boleh membisu kerana ketika reman masih belum selesai dan siasatan sedang berjalan, dua anggota polis ditugaskan khas untuk mengiringi suspek bertemu pihak media, sedangkan apa yang sepatutnya dibuat adalah melengkapkan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan.

“Justeru, saya menuntut Hamid sendiri perlu tampil memberi penjelasan dalam isu ini bagi membuktikan kesungguhan beliau dalam memerangi sebarang salah laku dalam pasukan polis,” katanya.

Lelaki yang sedang direman polis itu merupakan salah seorang daripada empat individu yang direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, polis dilaporkan sebagai berkata penahanan itu berjaya membongkar aktiviti judi dan sindiket ceti haram atau “Along” yang dijalankan syarikat milik majikan terbabit.

Pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.

Hasil penangkapan tersebut turut membawa kepada penemuan 100 kg jongkong emas dan 12,500 wang kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta

Zahid berkata, apakah rampasan yang dilakukan polis itu akan kembali dipulangkan dan pemilik syarikat itu akan dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.

“Jika itu mesej yang cuba disampaikan pihak polis, maka layanan serupa juga perlu diberikan kepada Najib Razak, kerana sehingga kini barangan rampasan milik bekas perdana menteri tersebut terkait siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dikembalikan oleh polis.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.