Sepanjang jalan tertua di Kuching, Sarawak, barisan kedai-kedai yang sudah berdekad lamanya masih teguh berdiri.
Tahun bersilih ganti, kedai-kedai itu menyaksikan pelbagai jenis pelanggan masuk dan keluar untuk membeli barangan istimewa mereka: rempah ratus dan herba, ramuan penting sajian tempatan yang terkenal di negeri itu.
Namun, tahun lalu menjadikan semua hal berubah, pandemik Covid-19 terus menjejaskan perniagaan sekali gus rakus menelan perniagaan di seluruh negara.
Sarawak turut terkesan dengan situasi tersebut. Negeri itu merekodkan kes harian tertinggi sejak beberapa hari lalu.
Dengan pelaksanaan larangan rentas negeri yang terus dikekalkan, kedai-kedai lama di Jalan Gambir berjuang habis-habisan untuk terus menjalankan operasi.
Peniaga-peniaga yang berada di kawasan tersebut memberitahu MalaysiaNow perniagaan mereka sedikit pulih ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) bertukar status kepada PKP bersyarat di negeri itu pada awal Mac lalu.
Namun pendapatan kecil yang mereka dapat itu akan mungkin akan berakhir dengan larangan bazar Ramadan di Sarawak.
Selama ini, bazar Ramadan yang dibuka setiap hari pada bulan puasa akan menjanjikan peningkatan pelanggan di kawasan tersebut.
Peniaga rempah ratus Mohamad Iskandar Abdul Kader berkata kawasan tersebut biasanya akan dikunjungi ramai orang terutamanya pada setiap musim cuti sekolah.
Perniagaan Iskandar, Yacob Sahib Trading, dimulakan oleh datuknya yang berhijrah ke Kuching dari India 88 tahun yang lalu.
Ia terus hidup di bawah beberapa generasi, namun keadaan pandemik Covid-19 dilihat mengancam perniagaan mereka untuk berkubur.
“Kami terpaksa hadapi kekurangan 80% pendapatan sepanjang pelaksanaan PKP Mac tahun lalu,” kata Iskandar kepada MalaysiaNow.
Walaupun masih menjalankan perniagaan sehingga hari ini, pelanggan dilihat semakin kurang berkunjung ke kawasan itu.
Sarawak kini berdepan dengan peningkatan kes jangkitan, pada 16 April lalu, 960 kes harian dari 2,551 kes baru direkodkan di negeri itu – jumlah paling tinggi pernah dicatatkannya.
Kadar jangkitan (Rt) Covid-19 di Sarawak juga turut meningkat sebanyak 1.1 dari 1.08 sehari sebelumnya.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata seramai 500 pegawai kementerian kesihatan akan digerakkan ke negeri itu bagi membantu usaha membendung wabak di Sarawak termasuk doktor, jururawat, pembantu perubatan, pegawai makmal dan pegawai radiologi dari negeri lain dan zon-zon hijau di Sarawak.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan turut menetapkan larangan mengadakan bazar Ramadan di Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Sri Aman walaupun kerajaan pusat membenarkan.
Peniaga Abdul Kalam Mohamad bagaimanapun tetap menyatakan rasa syukurnya, Syarikat Pakkir Mohamed yang diusahakan beliau setakat ini berjaya meneruskan operasi dalam sejak pandemik bermula tahun lalu.
Namun syarikat yang dimulakan datuknya pada 1950 itu kini sedang menanti notis muflis, katanya kepada MalaysiaNow.
Ketika PKP mula-mula dilaksanakan, perniagaannya menjunam sehingga 90%.
Kini, katanya, ia berjaya dipulihkan walaupun masih banyak ketidaktentuan terpaksa dihadapinya.
“Dahsyat bila tengok pandemik ini boleh lumpuhkan ekonomi dan perniagaan saya,” kata Kalam.
“Sepanjang waktu itu, pelanggan terus berkurangan secara drastik namun saya tak boleh buat apa-apa.”
Kalam dan Iskandar berkata mereka juga terpaksa memikirkan nasib pekerja-pekerja mereka.
“Saya cuba sedaya mungkin untuk tidak kecilkan operasi perniagaan,” kata Iskandar.
Sementara itu, bagi Kalam, masih wujud simpati kepada pekerja-pekerjanya.
“Saya tak sampai hati nak berhentikan pekerja kerana mereka sudah lama dengan saya.”
Setakat ini, perniagaan masih berdepan ketidakpastian dan mereka masih tidak boleh menjangka berapa ramai pelanggan yang akan mendapatkan produk perniagaan pada esok hari dan hari-hari seterusnya.
Cuma, apa yang pasti adalah: perniagaan mereka bertahan sejak beberapa generasi dan yakin ia perlu diteruskan sehingga tiba di garis tamat cabaran ini.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.