- Iklan -
Berita

Peningkatan kos makanan ternakan punca harga ayam naik

Menteri memberi amaran agar harga ayam atau barangan lain tidak dinaikkan melebihi harga yang telah ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan membeli ayam segar di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.
Seorang pelanggan membeli ayam segar di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Mengakui berlaku peningkatan harga ayam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport adalah antara penyebab utamanya.

Berikutan itu, katanya kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP), mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini, serta perbincangan dengan kementerian pertanian dan industri makanan (Mafi), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada harga RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula Rabu ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.

“Terdapat pelbagai faktor kenaikan harga ayam, tetapi yang paling ketara peningkatan kos makanan ternakan ayam sejak Januari tahun ini, iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara,” katanya dalam sidang media mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di kementeriannya semalam.

SHMMP Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan, melibatkan 12 jenis barangan membabitkan empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Nanta berkata, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat rantaian pengedaran ayam, iaitu peringkat ladang, borong dan runcit, bagi mengekang kenaikan harga ayam yang berlebihan.

“Penetapan ini tidak membebankan peniaga, kerana setiap rantaian pengedaran ayam tersebut telah mendapat keuntungan masing-masing,” katanya yang berharap penetapan harga ayam itu mengurangkan rungutan rakyat, berhubung isu kenaikan harga terutama ayam yang merupakan sumber protein yang mudah diperolehi.

Beliau berkata kawalan harga ayam itu hanya melibatkan ayam hidup, ayam standard dan ayam super sahaja, semasa musim Perayaan Hari Raya Puasa.

“Harga bagi bahagian ayam yang telah dipotong tidak kawal, contohnya dada, kaki dan paha,” katanya.

Nanta memberi amaran agar harga ayam atau barangan lain tidak dinaikkan melebihi harga yang telah ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

“Kita galakkan mereka untuk jual dengan harga lebih murah daripada yang telah ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.

“Sekiranya ada yang menaikkan harga barangan, kita akan ambil tindakan nasihat terlebih dahulu dan sekiranya mereka tetap berdegil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Semalam, Nanta dilaporkan berkata, KPDNHEP telah mengeluarkan 24 notis kepada pemborong yang disyaki mencatut dalam Operasi Antipencatutan 8.0 (Ops Catut 8.0) selama dua hari, bermula 15 April di seluruh negara.

Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan, susulan kenaikan mendadak harga ayam yang dikesan baru-baru ini juga, turut mengeluarkan 16 notis kepada penternak atas kesalahan sama.